BMW iX1 eDrive20L M Sport rasmi di Malaysia, harga anggaran RM255,000

02. All-New BMW iX1 eDrive20L M Sport

BMW Group Malaysia memperkenalkan model iX1 eDrive20L M Sport, SUV elektrik iX1 dengan jarak roda yang lebih panjang untuk pasaran tempatan.

iX1 eDrive20L merupakan unit import sepenuhnya dari pasaran China dengan harga jualan anggaran RM255,000.

Berbanding model iX1, iX1 L menawarkan jarak antara roda 2,802 mm, atau 110 mm lebih panjang dan dimensi keseluruhan 4,616 mm (+116 mm), menyumbang kepada ruang belakang yang lebih lapang.

Dari segi kuasa, BMW iX1 L ini dipacu dengan motor elektrik 204 hp/250 Nm pacuan roda depan, menawarkan pecutan 0-100 km/j dalam 8.6 saat dan kelajuan maksimum 175 km/j.

Pek bateri lithium-ion 66.5 kWh pula menawarkan jarak pandu sehingga 433 km (data WLTP).

BMW iX1 L menyokong pengecasan AC 11 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 130 kW (10-80 peratus SoC dalam 32 minit), atau penambahan jarak 120 km dalam tempoh 10 minit.

Untuk bahagian luaran, terdapat ciri seperti kemasan Shadowline, lampu LED adaptif, rim 19 inci, lampu belakang LED, rel bumbung M, serta empat pilihan warna iaitu Mineral White, Brooklun Grey, Skyscraper Grey atau Carbon Black.

Ruang kargo pula adalah sebesar 490 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,600 liter.

Disebabkan penambahan jarak roda itu tadi, BMW iX1 L menawarkan ruang tambahan 81 mm untuk ruang kaki, dan 107 mm untuk ruang lutut.

Tempat duduk baris kedua juga diberikan pelapik yang lebih lembut, serta dimensi 15 mm lebih panjang.

Ciri lain termasuklah panel melengkung terdiri daripada skrin digital 10.7 inci dan skrin tengah 10.25 inci, sistem operasi BMW OS 9, roda stereng kulit M, bumbung panorama tanpa tiang tengah, serta tirai kain berkuasa elektrik.

Selain itu, terdapat juga tempat duduk sport larasan elektrik dan fungsi memori untuk pemandu dan penumpang depan, kawalan iklim automatik, serta sistem audio Harman Kardon 205 watt dengan 12 pembesar suara.

BMW iX1 L hadir dengan Bantuan Pemanduan Plus yang menawarkan Kawalan Pemanduan Aktif dengan ciri Berhenti & Jalan, Bantuan Kawalan Stereng dan Lorong, Informasi Had Laju, Amaran Keluar Lorong, serta Bantuan Parkir Plus.

Ia juga dilengkapi dengan sistem keselamatan pejalan kaki aktif dan perlindungan akustik untuk pejalan kaki.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved