BMW i5 eDrive40 M Sport Pro 2026 versi CKD rasmi lancar – harga dari RM368,800

BMW Group Malaysia mengumumkan ketibaan model pemasangan tempatan (CKD) pertama, iaitu BMW i5 eDrive40 M Sport Pro dengan harga jualan dari RM368,800.

Sedan elektrik ini dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda belakang 340 hp dan 430 Nm, dengan keupayaan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6 saat dan kelajuan maksimum 193 km/j.

Bateri NMC 83.9 kWh pula menawarkan jarak pandu sehingga 627 km (data WLTP), terima kasih kepada penggunaan penukar silikon karbida (SiC), teknologi bateri dan sistem pengurusan haba baharu.

Selain menyokong pengecasan AC 11 kW, BMW i5 ini turut menawarkan keupayaan pengecasan DC sehingga 205 kW (10-80 peratus SOC dalam 34 minit).

Aspek luaran menampilkan ciri seperti jeriji BMW Shadowline Iconic Glow, lampu LED adaptif, lampu belakang LED, rim M 939 M saiz 20 inci, tidak ketinggalan aksesori M Sport termasuklah spoiler belakang dan brek.

Aspek pemanduan pula dibantu dengan penggunakan suspensi adaptif serta sistem stereng aktif integral yang membolehkan roda belakang membelok sehingga 2.5 darjah.

Ruang kabin menempatkan panel melengkung yang terdiri daripada skrin paparan digital 12.3 inci dan skrin tengah sebesar 14.9 inci, kawalan sensitif sentuhan, sistem pencahayaan ambien, roda stereng kulit M, tali pinggang keledar M, serta pelapik bumbung antrasit M.

Ruang kargo adalah sebesar 490 liter dengan tempat duduk baris belakang boleh dilipat dalam nisbah 40:20:40.

Ciri lain termasuklah bumbung kaca panorama, tempat duduk sport dengan sokongan memori dan tulang belakang, kawalan iklim empat zon, sistem audio Bowers & Wilkins dengan 17 pembesar suara, serta pakej bunyi BMW IconicSounds Electric.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah Bantuan Pemanduan Profesional, Bantuan Kawalan Stereng, Bantuan Had Kelajuan, Amaran Lintasan Trafik Depan dan Belakang serta Bantuan Parkir.

Terdapat lima warna pilihan iaitu Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Brooklyn Grey Metallic, Phytonic Blue Metallic, dan Oxide Grey Metallic.

Sementara trim dalaman pula menampilkan upholsteri kulit Merino BMW Individual berwarna Hitam/Atlas Grey.