Honda dedah logo ‘H’ baharu, akan digunakan pada model EV dan hibrid bermula 2027

Honda logo

Honda kini tampil dengan logo H serba baharu yang bakal menjadi wajah utama perniagaan automotifnya pada masa hadapan. Logo ini akan mula digunakan pada model elektrik dan hibrid generasi baharu, selari dengan hala tuju Honda yang semakin fokus kepada elektrifikasi dan teknologi pintar.

Logo H Honda sebenarnya mula digunakan sejak tahun 1963 dan menjadi identiti semua kereta Honda selama lebih enam dekad. Sepanjang tempoh itu, rekaannya pernah berubah beberapa kali, namun masih mengekalkan bentuk asas huruf “H”.

Versi terkini ini diperkenalkan seiring pembangunan EV generasi baharu Honda, termasuk barisan Honda 0 Series yang membawa konsep bermula dari kosong atau “second founding”.

Dari segi reka bentuk, logo H baharu ini nampak lebih ringkas berbanding logo Honda yang digunakan sekarang. Jika logo lama kelihatan lebih padat, logo baharu ini menyerlah dengan bentuk seakan dua tangan yang dihulurkan. Menurut Honda, ia melambangkan kesediaan mereka untuk memperluaskan kemungkinan mobiliti dan memenuhi keperluan pelanggan.

Menariknya, walaupun kelihatan moden, rekaan logo ini sebenarnya lebih hampir kepada logo H asal dari era 1960-an. Logo Honda diperkemas buat pertama kali pada tahun 1969 dan mengalami perubahan besar pada 1981, iaitu rekaan yang kekal digunakan hingga hari ini.

Jadi, langkah kembali kepada gaya asal ini selari dengan idea “second founding” yang ditekankan Honda, iaitu satu fasa pembaharuan besar jenama dalam era EV.

Logo H baharu ini akan mula muncul pada model EV dan hibrid Honda yang diperkenalkan bermula tahun 2027. Selain pada kenderaan, Honda juga akan menggunakan logo ini di semua cawangan pengedar, bahan komunikasi jenama serta aktiviti sukan permotoran.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved