AFAZ serah model Kencana Sport kepada Perdana Menteri
Satu detik bersejarah tercatat semalam (15 Januari) apabila jenama motosikal tempatan AFAZ Kencana Sport diserahkan secara rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.
Majlis ini menandakan kemuncak kepada inisiatif jangka panjang yang bermula dengan pelaksanaan Automotive Manufacturing 2 (AM-2) pada tahun 2022.
Ia merupakan satu kerangka dasar strategik bertujuan untuk memperkukuh ekosistem automotif tempatan, meningkatkan keupayaan kejuruteraan nasional serta membangunkan rantaian industri bernilai tinggi secara menyeluruh.
Pada tahun 2023, KMSB Motors Sdn Bhd memeterai Perjanjian Memorandum (MoA) bersama Suzuki Motor Corporation merangkumi kerjasama teknikal dan kejuruteraan, pemindahan pengetahuan, perkongsian kepakaran industri serta pembangunan keupayaan tempatan secara berstruktur dan mampan.
Hasilnya, projek AFAZ telah dibangunkan sebagai satu inisiatif nasional dengan matlamat jelas untuk membangunkan Motosikal Nasional Kedua Malaysia dan memperkukuh ekosistem industri motosikal negara.
Penyerahan AFAZ Kencana Sport kepada Perdana Menteri bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan keupayaan Malaysia dalam mereka bentuk, membangunkan dan menghasilkan penyelesaian mobiliti bertaraf nasional, hasil gabungan dasar progresif, kerjasama industri strategik dan keupayaan tempatan yang semakin matang.
AFAZ Kencana Sport merupakan sebuah motosikal underbone dengan enjin Euro 4 yang lebih cekap bahan api, mesra alam dan rendah pelepasan emisi, serta disokong teknologi enjin Suzuki yang telah terbukti ketahanan dan prestasinya.
Objektif utama pembangunan model ini adalah untuk menyediakan sebuah motosikal yang praktikal dan mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan pasaran massa.
Hari ini saya menerima penyerahan Motosikal Nasional AFAZ Kencana Sport, hasil kerjasama strategik industri tempatan dan antarabangsa yang berteraskan dasar Automotive Manufacturing 2 (AM-2).
Kerjasama industri tempatan dan rakan teknologi antarabangsa ini bakal membuka lebih… pic.twitter.com/TOrufPiaju
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) January 15, 2026
Selain memenuhi keperluan pasaran domestik, AFAZ Kencana Sport turut dibangunkan selaras dengan piawaian antarabangsa dari aspek kejuruteraan, keselamatan dan pematuhan peraturan. Pendekatan ini memastikan motosikal ini bukan sahaja relevan untuk pasaran tempatan, malah bersedia untuk dieksport ke pasaran ASEAN dalam tempoh terdekat.
Dengan tahap kualiti, kebolehpercayaan serta pematuhan piawaian yang kompetitif, AFAZ Kencana Sport berpotensi menjadi duta industri dua roda Malaysia di peringkat serantau, sekali gus membuka peluang baharu kepada vendor tempatan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan automotif ASEAN.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.









