Nissan Clipper Truck 2026 untuk Jepun, kei-truck rupa garang!
Nissan Motor Co. Ltd. mengumumkan pengenalan model Clipper Truck yang telah dipertingkatkan spesifikasinya untuk pasaran Jepun.
Model yang bakal mula dijual pada 23 Januari ini tampil dengan pembaharuan menyeluruh dari segi reka bentuk luaran, keselesaan ruang kabin, serta peningkatan ciri keselamatan termaju bagi memenuhi keperluan undang-undang semasa.
Kepelbagaian Model Siri Clipper
Selain daripada model lori kecil Clipper Truck, siri ini turut menawarkan pelbagai varian untuk memenuhi keperluan komersial dan peribadi yang berbeza.
Pelanggan di Jepun ditawarkan Clipper Van, Clipper Rio yang bergaya dan melangkah ke era mobiliti elektrik, Nissan turut tampil dengan Clipper EV.
Van elektrik ini merupakan hasil kerjasama dengan Mitsubishi dan menggunakan asas daripada model Minicab EV.
Reka Bentuk Luaran Yang Lebih Moden
Penampilan wajah hadapan Clipper Truck kini berubah sepenuhnya.
Lampu utama menggunakan unit LED sebagai standard untuk semua gred bagi menjamin tahap penglihatan yang lebih baik pada waktu malam atau cuaca buruk.
Reka bentuk lampu ini berbentuk segi empat yang lebih kompak namun tajam, dipadankan dengan hiasan berwarna pada bahagian hadapan untuk memberikan kesan kesinambungan dengan warna badan.
Bahagian bukaan pada bawah gril kini berwarna hitam bagi mewujudkan kontras yang lebih jelas dengan warna badan.
Bagi varian tertinggi iaitu gred GX, lampu kabus juga kini menggunakan teknologi LED.
Nissan turut menambah pilihan warna badan baharu iaitu Moss Gray yang sebelum ini mendapat sambutan amat baik pada model Clipper Van dan Clipper Rio.
Dalaman Lebih Canggih

Bahagian dalaman turut menerima perubahan ketara bagi meningkatkan kemudahan harian pemandu.
Panel instrumen kini dilengkapi dengan paparan meter digital sepenuhnya yang memaparkan maklumat seperti kelajuan, masa henti melahu, skor pemanduan eko, tahap penggunaan bahan api dan jarak perjalanan yang berbaki.
Papan pemuka kini mempunyai hiasan tengah berwarna Piano Black yang boleh memuatkan skrin paparan bersaiz 8 inci.
Nissan turut menambah ruang simpanan baharu iaitu ruang tengah papan pemuka, pemegang minuman di bahagian penumpang hadapan serta soket kuasa USB jenis Type-A dan Type-C.
Untuk keselesaan dan keselamatan yang lebih baik, tempat duduk kini menggunakan reka bentuk kepala bersepadu yang menyokong keseluruhan bahagian atas badan pemandu.
Ciri Keselamatan Termaju Sebagai Standard
Clipper Truck dilengkapi dengan pelbagai sistem keselamatan aktif yang dipasang secara standard untuk semua varian.
Di antara ciri utama seperti Sistem Pencegahan Keluar Lorong atau Intelligent LI bagi mengelakkan kenderaan tersasar dari lorong, serta fungsi Pengecaman Papan Tanda untuk papan tanda berhenti, dilarang masuk dan lampu isyarat merah.
Lori ini juga dilengkapi Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan yang akan berkelip secara automatik semasa brek mengejut untuk memberi amaran kepada kenderaan belakang.
Selain itu, terdapat penambahan sensor parkir hadapan dan Sistem Bantuan Pencegahan Salah Tekan Pedal yang kini merangkumi semua varian.
Rangkaian Kuasa

Nissan Clipper Truck dikuasakan enjin R06A DOHC 12 injap dengan teknologi VVT pada bahagian kemasukan dan ekzos.
Enjin 660cc 3 silinder sebaris dengan sistem sejukan cecair ini mampu menghasilkan output maksimum 50 hp pada 6,200 rpm dan tork maksimum 59 Nm pada 3,500 rpm.
Sistem bekalan bahan api menggunakan teknologi EPI atau Suntikan Bahan Api Elektronik yang dioptimumkan untuk penggunaan petrol tanpa plumbum dengan kapasiti tangki sebanyak 34 L.
Pelanggan boleh memilih antara transmisi manual 5 kelajuan atau automatik 4 kelajuan yang disalurkan melalui sistem pacuan roda belakang 2WD atau pacuan 4 roda 4WD.
Pengalaman pemanduan juga dipertingkatkan dengan kehadiran stering kuasa elektrik serta sistem henti melahu atau idling stop untuk kecekapan bahan api yang lebih baik.
Dimensi dan Berat
Dari segi saiz fizikal, Clipper Truck mempunyai panjang keseluruhan 3,395 mm dengan lebar keseluruhan 1,475 mm manakala tinggi keseluruhan pula mencatatkan 1,765 mm.
Kenderaan ini dibina dengan jarak roda sepanjang 1,905 mm jarak dan memiliki kelegaan tanah minimum setinggi 160 mm.
Untuk kegunaan kargo, bahagian belakang lori ini menawarkan ruang dengan panjang 1,940 mm, lebar 1,410 mm dan tinggi 290 mm, dengan ketinggian lantai kargo dari tanah sebanyak 650 mm.
Bergantung kepada spesifikasi yang dipilih, berat kenderaan ini adalah antara 740 hingga 790 manakala kapasiti muatan maksimum yang dibenarkan adalah 350 kg.
Radius pusingan minimum ialah 3.6 meter untuk memudahkan pergerakan di kawasan sempit.
Harga Jualan
Berikut adalah senarai harga jualan bagi Nissan Clipper Truck mengikut varian dan jenis transmisi:
- 2WD DX 5MT: 1,344,200 Yen (RM 34,344)
- 2WD DX 4AT: 1,435,500 Yen (RM 36,677)
- 4WD DX 5MT: 1,456,400 Yen (RM 37,211)
- 4WD DX 4AT: 1,529,000 Yen (RM 39,066)
- 4WD DX Nonger 5MT: 1,492,700 Yen (RM 38,138)
- 4WD GX 4AT: 1,676,400 Yen (RM 42,832)
Kredit gambar: Nissan



