Honda Base Station Prototype, treler untuk berkhemah dan aktiviti luar!
Honda membuka tirai 2026 dengan memperkenalkan Base Station Prototype, sebuah treler pekhemah (towable travel trailer) serba ringan yang dibangunkan khusus untuk menjadikan aktiviti berkhemah lebih mudah, lebih mampu milik dan lebih mesra pengguna moden.
Dilancarkan di Torrance, California, konsep ini lahir daripada pasukan R&D Honda di Los Angeles dan Ohio iaitu kumpulan sama yang mencipta skuter elektrik kompak Motocompacto.
Rekaan Ringan, Boleh Ditunda SUV Kompak
Fokus utama Base Station ialah memudahkan pemilik kenderaan biasa menikmati gaya hidup luar tanpa perlu membeli trak besar atau SUV berkuasa tinggi.
Beratnya yang rendah membolehkan ia ditunda menggunakan SUV kompak popular seperti Honda CR-V serta model lain seperti Toyota RAV4, malah EV seperti Honda Prologue dan Honda 0-Series SUV.
Ini membuka pasaran yang jauh lebih besar dalam segmen pengemberaan treler ringan.
Honda menjelaskan bahawa Base Station dibangunkan untuk menjadikan aktiviti luar lebih mudah diakses oleh semua.
Man Maximum/Machine Minimum
Base Station dibina berasaskan falsafah Honda Man Maximum/Machine Minimum, iaitu meminimumkan komponen mekanikal dan memaksimumkan ruang guna.
Meskipun saiznya kompak hingga boleh disimpan dalam garaj kediaman biasa, ruang dalaman terasa besar, lapang dan cerah.
Antara ciri utama:
- Bumbung boleh dinaikkan untuk menawarkan ruang berdiri setinggi tujuh kaki.
- Lima tingkap besar dengan cahaya semula jadi maksimum, boleh ditanggalkan dan diganti dengan aksesori.
- Pintu belakang berengsel atas, membolehkan pergerakan bebas antara treler dan kawasan perkhemahan.
- Tempat tidur untuk empat orang, dengan sofa gaya futon yang dibuka menjadi katil queen, serta pilihan katil tingkat kanak-kanak.
- Lampu suasana berbentuk cincin di sekitar tingkap, boleh dilaras warna dan tahap kecerahan, sekali gus memudahkan pemasangan khemah waktu malam.
Aksesori Lengkap: Dari Dapur Ke Penyaman Udara
Konsep modular Base Station membolehkan pengguna menambah aksesori untuk meningkatkan keselesaan. Model prototaip ini dipamerkan dengan:
- Penyaman udara
- Dapur luaran lengkap termasuk air mengalir dan dapur induksi
- Pancuran mandi luaran
Kuasa pula dijana melalui bateri litium standard dengan inverter dan panel solar terbina dalam.
Base Station juga boleh disambungkan kepada sumber kuasa tapak perkhemahan atau penjana Honda untuk tempoh bertahan lebih lama tanpa gangguan.
Pelengkap Kepada Ekosistem Produk Adventure-Ready Honda
Honda sudah lama terlibat dalam dunia gaya hidup lasak melalui barisan trak ringan, ATV, side-by-side, penjana dan motosikal.
Base Station direka untuk seiring dalam ekosistem tersebut sebagai sebuah produk yang menghubungkan dunia automotif, rekreasi dan teknologi pintar.
