Proton e.MAS 7 PHEV 2026 – tempahan kini dibuka, harga anggaran RM110k-RM130k
Proton New Energy Technology (Pro-Net) selaku cabang kenderaan tenaga baharu Proton mengumumkan spesifikasi bagi model SUV baharu e.MAS 7 PHEV yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Dimensi
e.MAS 7 PHEV membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,740 mm, lebar 1,905 mm, tinggi 1,685 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,755 mm.
Berbanding e.MAS 7 versi elektrik, versi PHEV 125 mm lebih panjang, 39 mm lebih lebar, 15 mm lebih tinggi dan jarak antara roda 5 mm lebih panjang.
Ruang kargo adalah sebesar 528 liter, dan boleh mencapai sehingga 2,065 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
2. Sistem PHEV
e.MAS 7 PHEV menggunakan unit rangkaian kuasa Super Hybrid EM-i Geely, terdiri daripada enjin 1.5 liter NA (98 hp/125 Nm) dan motor elektrik tunggal (215 hp/262 Nm).
Kuasa keseluruhan mencecah 258 hp dan 262 Nm yang memacu roda depan.
Terdapat dua pilihan kapasiti bateri untuk e.MAS 7 PHEV.
Varian Premium Plus menggunakan bateri bilah pendek Aegis 29.8 kWh yang menawarkan jarak gerak 170 km (data NEDC), selain menyokong pengecasan pantas DC 60 kW.
Pengecasan 30-80 peratus hanya mengambil masa kurang 16 minit.
Sementara varian Premium dan Prime pula menggunakan bateri CATL 18.4 kWh dengan jarak pandu sejauh 105 km, serta pengecasan DC sehingga 30 kW.
Sistem PHEV ini menawarkan tiga mod hibrid iaitu Series Hybrid Mode, Parallel Mode dan Direct Drive Mode.
Secara keseluruhan, e.MAS 7 PHEV boleh bergerak sejauh 1,065 km.
3. Luaran
e.MAS 7 PHEV menggunakan tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan multi-link di bahagian gandar belakang.
Ia juga hadir dengan rekaan lampu yang berbeza berbanding e.MAS 7 EV.
Varian Prime dilengkapi dengan rim 18 inci sementara dua varian tertinggi mendapat rim 19 inci.
4. Kabin
Untuk ruang kabin, terdapat sehingga 30 ruang storan tersedia termasuklah ruang storan 100L tersembunyi di bawah lantai kargo belakang.
Ia turut mendapat ciri seperti skrin tengah 15.4 inci lengkap dengan sistem operasi Flyme Auto, sokongan peta pengecasan langsung, Apple CarPlay dan Android Auto, skrin paparan head-up 13.8 inci, dan sistem audio keliling WANOS dengan 16 pembesar suara.
Ciri lain termasuklah bumbung kaca panorama, tempat duduk balutan leatherette dengan fungsi larasan kuasa, memori dan ventilasi, sistem pencahayaan ambien, serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar.
5. Keselamatan
e.MAS 7 PHEV hadir dengan tujuh beg udara serta 15 fungsi ADAS Tahap 2 yang turut merangkumi Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Brek Kecemasan Automatik (AEB), Amaran Keluar Lorong (LDW), Pengelakan Keluar Lorong (LDP), Amaran Pelanggaran Belakang (RCW), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), serta sistem Pengecaman Papan Tanda Trafik (TSR).
Proton e.MAS 7 PHEV boleh didapati dalam pilihan warna Obsidian Black, Lithium White, Mercury Silver, Galena Grey dan Azure Blue.
Harga jualan anggaran dari RM110,000 hingga RM130,000. SUV plug-in hybrid Proton ini akan dilancarkan secara rasmi pada bulan depan.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.



















