Nissan Fairlady Z facelift muncul di Tokyo Auto Salon 2026
Generasi ketujuh kereta sports Nissan Z (Fairlady Z di pasaran Jepun) debut pada tahun 2021 bagi menggantikan model 370Z.
Setelah beberapa tahun, Nissan akhirnya mengemas kini penawaran Fairlady Z dengan memperkenalkan versi facelift di Tokyo Auto Salon 2026.
Tidak banyak perubahan yang dibuat namun berbanding model terdahulu, Fairlady Z facelift menampilkan imej yang lebih kemas terutama pada bahagian bampar hadapan serba baharu.
Menurut Nissan, rekaan bampar baharu itu bukan sahaja menitikberatkan aspek estetik, akan tetapi mampu menyumbang kepada aspek aerodinamik yang lebih baik dengan cara mengurangkan kesan angkat depan sebanyak 3.3 peratus dan mengurangkan seretan sebanyak 1 peratus.
Selain itu, lencana Nissan pada bahagian depan telah digantikan dengan emblem Z, diikuti dengan rim aloi dengan kemasan dua tona.
Akhir sekali, Nissan memperkenalkan warna baharu Unryu Green yang diinspirasikan daripada warna Grand Prix Green pada model Z generasi S30.
Buat masa ini, Nissan masih mengekalkan enjin asal bentangan V6 3.0 liter turbo berkembar menghasilkan 400 hp dan 475 Nm.
Namun, aspek pemanduan dan pengendalian dipertingkatkan dengan sistem suspensi yang telah disemak semula dengan padanan penyerap hentak monotiub yang lebih besar, serta sistem brek yang lebih besar.
Susun atur ruang kabin kekal tidak berubah, namun untuk versi facelift Nissan menawarkan opsyen trim tan untuk tempat duduk, panel pintu dan bahagian bawah papan pemuka.
Menariknya, dalam imej rasmi yang dibekalkan terdapat komponen paddle shifter di sebalik stereng di dalam sebuah kereta yang mempunyai tombol gear manual.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.








