UMW Toyota catat jualan lebih 100 ribu untuk empat tahun berturut-turut
UMW Toyota Motor (UMWT) menutup tirai tahun 2025 dengan merekodkan jualan 14,284 unit sepanjang bulan Disember.
Ini menjadikan jumlah jualan keseluruhan tahunannya mencapai 102,417 unit, sekaligus menandakan empat tahun berturut-turut Toyota melepasi paras 100,000 unit.
Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Toyota sebagai jenama automotif bukan nasional pertama dan satu‑satunya di Malaysia yang berjaya melepasi jualan 100,000 unit selama empat tahun berturut‑turut — satu rekod yang belum pernah dicapai mana‑mana jenama bukan nasional sebelum ini.
Biarpun pasaran automotif tempatan semakin sengit dengan kemasukan jenama baharu dan peralihan ke arah mobiliti elektrik, prestasi cemerlang UMWT ini mencerminkan kepercayaan serta kesetiaan pelanggan Malaysia terhadap jenama Toyota.
Kejayaan ini diperkukuh dengan pendekatan berbilang jalan (Multi-Pathway) yang mengiktiraf keperluan mobiliti berbeza berdasarkan komuniti, corak penggunaan, dan tahap kesediaan infrastruktur.
Dengan gabungan enjin pembakaran dalaman cekap, teknologi hibrid, serta mobiliti masa depan, Toyota komited terhadap misi “Mobility for All” — memastikan kemajuan yang inklusif mengikut realiti pasaran tempatan.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, “Melepasi jualan 100,000 unit selama empat tahun berturut‑turut merupakan pencapaian bermakna dan satu penghargaan kepada kepercayaan rakyat Malaysia terhadap Toyota. Dalam pasaran yang sentiasa berubah, prestasi ini membuktikan kekuatan strategi jangka panjang kami, pelaburan dalam keupayaan tempatan, serta pemahaman mendalam tentang cara rakyat Malaysia menggunakan kenderaan mereka.
“Berpandukan falsafah ‘Best in Town’ dan prinsip ‘Customer First’, kami kekal komited menyediakan penyelesaian mobiliti yang praktikal, inklusif dan boleh diharap — bukan sahaja hari ini, tetapi untuk generasi seterusnya.”
Dalam pada itu, UMWT telah memperkenalkan Toyota Extend Plan bermula 1 Disember 2025 membolehkan pelanggan yang layak melanjutkan tempoh jaminan asal lima-tahun kepada lapan-tahun, bergantung kepada model (Vios, Yaris, Corolla dan Corolla Cross) serta pakej yang dipilih (Asas atau Premium).
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

