Result Japan hasilkan kit badan retro untuk Toyota GT86, siap lampu pop-up!
Lampu pop-up (ataupun lampu yang boleh disorokkan) merupakan antara ciri yang mampu membuatkan sesebuah kereta era 80-an dan 90-an nampak cool di atas jalan raya.
Namun disebabkan undang-undang keselamatan yang lebih ketat, kereta yang dilengkapi dengan lampu jenis itu akhirnya beransur-ansur lenyap dari pasaran.
Untuk mereka yang rindu dengan ciri tersebut, syarikat Jepun ini ada jawapannya.
Kit badan Neo86 mengubah muka hadapan Toyota GT86 dengan bampar bersegi gaya retro, hud enjin yang lebih ringkas dan paling penting: lampu pop-up yang berfungsi sepenuhnya!
Selain itu, terdapat juga lampu isyarat membelok berasingan, serta lampu kabus kuning yang menjadi aksesori wajib untuk kereta AE86 kedai tofu.
Melengkapkan lagi imej retro GT86 ini ialah padanan fender lebar, spoiler ekor itik, lampu belakang LED aftermarket, serta rim hitam Watanabe.
Kit Neo86 ini akan dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2026, dan dalam masa yang sama sesi pra-tempahan akan dibuka.
Berita baik, pihak Result Japan akan turut menawarkan kit Neo86 ini bukan sahaja untuk pasaran domestik, malah ia akan turut diperluaskan ke serata dunia.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.










