Mitsubishi Delica Mini berubah menjadi Pajero versi mini

DAMD Dali Mitsubishi Delica Mini 3

Kei car kebiasaannya mempunyai rekaan yang lebih comel, sesuai dengan fizikalnya yang kecil.

Namun syarikat pengeluar kit badan terkemuka DAMD mempunyai idea untuk menjadikan penampilan kei car yang lebih agresif, lasak dan bergaya.

Seperti contoh, kit badan “Dali” (yang dipendekkan daripada Dakar Rally) berjaya mengubah rupa sebenar Mitsubishi Delica Mini yang comel menjadi sebuah jentera retro yang diinspirasikan daripada model Pajero era 80-an.

Jika anda perasan, lampu depan serba baharu itu lebih mirip kepada rekaan lampu yang wujud pada model Pajero generasi pertama.

Selain itu, ia turut hadir dengan struktur jeriji bersegi, lengkap dengan emblem asli Mitsubishi yang turut menempatkan pelbagai penderia ADAS disediakan.

Struktur bampar depan asal Delica Mini masih dikekalkan termasuklah perkataan “DELICA” dan liang pengudaraan asal, namun diperkemaskan dengan tambahan hiasan istimewa yang diakhiri dengan kemasan hitam berkilat.

Apa yang penting, segala penambahan tersebut tidak menjejaskan ukuran asal Delica Mini dan masih lagi mematuhi peraturan kei car yang ditetapkan oleh kerajaan Jepun.

DAMD turut menawarkan set decal sisi kustom, rim aloi Cantabile 15 inci yang dibaluti tayar Toyo Tires Open Country R/T, serta tidak ketinggalan rak bumbung.

Aksesori untuk ruang kabin pula masih lagi dalam peringkat fasa pembangunan. Harga pakej lengkap juga akan diumumkan kelak.

Model ini akan dipamerkan secara rasmi di reruai DAMD di Tokyo Auto Salon 2026 berlangsung pada bulan ini.

 

DAMD Dali

Mitsubishi Delica Mini

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved