Ferrari 412 yang sering dilupakan kembali berseri dengan restomod bernilai RM7.3 juta

OMD-Ferrari-412-Superfast-1-2048×1366

Ferrari 412 ialah antara model Ferrari yang ramai mungkin tidak kenal atau mudah lupa – ada sebabnya. Dari segi reka bentuk, ia jauh daripada imej Ferrari yang ikonik dan memukau, malah sering dianggap kurang menarik berbanding model Ferrari lain.

Walau bagaimanapun, seorang pemilik dari Amerika Syarikat melihat potensi di sebalik rupa tersebut, sehingga sanggup membelanjakan USD1.8 juta (RM7.3 juta) untuk membina sebuah 412 yang benar-benar luar biasa.

Ini bukan 412 biasa. Malah, ia mungkin 412 paling mahal dan paling berkuasa pernah dihasilkan. Dibangunkan oleh Otsuka Maxwell Design (OMD), projek restomod ini mengambil masa lebih 5,000 jam untuk disiapkan.

Fokus utama sudah tentu terletak di bawah bonet. ‘Nadi’ asalnya dibuang dan kini ia menggunakan enjin 6.5-liter V12 daripada 812 Superfast. Enjin tersebut diberikan sentuhan visual khas supaya kelihatan lebih klasik, termasuk penutup injap yang menggabungkan elemen retro dan moden.

Dari segi mekanikal, sistem suntikan terus asal telah digantikan dengan suntikan port. Otsuka Maxwell Design turut memasang 12 throttle body individu, bersama sistem pengambilan udara dan kotak udara gentian karbon rekaan khas. Semua ini dibangunkan dengan fokus terhadap prestasi dan kemasan visual.

Lebih menarik, enjin ini dipadankan dengan kotak gear manual 6 kelajuan ‘gated’. Ferrari tidak pernah menawarkan 812 Superfast dengan transmisi manual, jadi OMD mengambil transmisi automatik daripada 599 GTB dan menukarnya menjadi transmisi manual sepenuhnya.

Bahagian luaran kini kelihatan lebih menonjol dengan warna Superfast Gold dan hitam. Bampar dirapatkan, fender dilebarkan, dan lampu pop-up asal dibuang bagi menghasilkan rupa yang lebih kemas dan moden. Ia turut dipadankan dengan rim tempa Brixton bersaiz 18 inci.

Bahagian kabin turut diberi nafas baharu menerusi upholsteri Alcantara, kulit baharu, tempat duduk gentian karbon, serta karpet berkualiti tinggi seperti yang digunakan dalam Rolls-Royce.

Paling menonjol ialah penggunaan Mongolian Cashmere yang bernilai sekitar USD1,000 (RM4,050) setiap ela. Turut ditambah ialah suis kawalan khas, paparan meter digital, dan sistem infotainmen moden yang diintegrasikan dengan kemas.

Hasil akhirnya ialah sebuah transformasi dramatik yang cukup memukau. Ferrari 412 ini membuktikan bahawa dengan visi jelas (dan bajet kayangan), sebuah kereta yang sering dilepas pandang boleh berubah menjadi karya agung. Tapi, berbaloi ke dengan harga tu?

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved