Nissan bakal gegar Tokyo Auto Salon 2026 – Model konsep NISMO, Fairlady Z versi manual!
Tokyo Auto Salon 2026 bakal tiba pada Januari 2026 dan Nissan bersama Nissan Motorsports & Customization Co., Ltd. (NMC) tidak ketinggalan menampilkan sejumlah model yang menarik.
Kemunculan Pertama Model Konsep NISMO
Tumpuan utama di reruai Nissan kali ini pastinya terarah kepada pendedahan sebuah model konsep NISMO khas.
Model ini bakal membuat penampilan perdana di pentas dunia dan dijangka menjadi magnet utama buat peminat prestasi tinggi.
Perincian teknikal masih dirahsiakan dan maklumat lengkap mengenai model konsep ini hanya akan didedahkan semasa sidang akhbar rasmi Nissan pada 9 Januari depan.
Fairlady Z 2026 Kini Dengan Transmisi Manual!
Satu lagi tarikan utama adalah model Fairlady Z yang telah dikemas kini dan dijadualkan memasuki pasaran Jepun pada musim panas 2026.
Model ini tampil dengan gaya reka bentuk baharu yang memfokuskan kepada peningkatan prestasi aerodinamik.
Berita baik bagi peminat pemanduan gear dan klac, Nissan bakal memperkenalkan Z NISMO yang dilengkapi dengan transmisi manual melalui varian NISMO MT.
Model ini akan dipamerkan sepanjang acara bagi membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat jentera yang menjanjikan pengalaman pemanduan lebih mengujakan.
Nissan X-Trail Rock Creek Multibed Wildplay Untuk Pengembaraan Lasak
Bagi peminat aktiviti luar, Nissan akan mempamerkan X Trail Rock Creek Multibed Wildplay.
Model ini berasaskan edisi Rock Creek dengan identiti perkakasan lasak yang menjadi DNA siri tersebut.
Ia direka khusus untuk kegunaan aktiviti rekreasi luar dengan kemasan luaran dan dalaman yang tahan lasak, kerusi kalis air serta pakej aksesori bertemakan aktiviti luar yang memudahkan urusan perkhemahan.
Nissan LEAF AUTECH dan Projek Baik Pulih March – Matchys March
Segmen kenderaan elektrik turut ditonjolkan dengan kehadiran LEAF serba baharu di bawah barisan model AUTECH.
Varian ini menggabungkan elemen sporti dengan kemewahan, di mana ruang kabin diberi sentuhan berseni bagi meningkatkan kualiti ruang dalaman.
Selain itu, Nissan turut mempamerkan sebuah unit Nissan March yang unik milik Masahiko Matchy Kondo, Pengarah Pasukan Kondo Racing.
Kereta yang digelar Matchys March ini telah dibaik pulih sepenuhnya oleh pelajar dari Kolej Automobil Nissan.
Di antara perubahan yang dilakukan termasuklah kemasan luaran serta kerja penukaran sistem transmisi kepada manual.
Gambar: Nissan




