Enjin rotary kembali? Changan dedah enjin rotary berprestasi tinggi pertama dari China

Mazda_RX-8_RENESIS_Rotary_powertrain
gambar sekadar hiasan

Bila bercakap tentang enjin rotary, nama Mazda memang akan terus terlintas di fikiran. Dari RX-7 dan RX-8 sehinggalah jentera legenda 787B yang menjuarai Le Mans, jenama dari Jepun itu memang sinonim dengan teknologi ini. Namun, dominasi itu kini mula dicabar apabila Changan tampil dengan enjin rotary baharu, sekali gus menghidupkan semula teknologi yang lama dianggap “mati”.

Changan baru-baru ini mendedahkan enjin rotary yang dikenali sebagai R05E, dan ia dikatakan sebagai enjin rotary berprestasi tinggi pertama yang dibangunkan sepenuhnya di China. Projek ini sebenarnya sudah diumumkan awal tahun ini hasil kerjasama teknikal bersama firma kejuruteraan Austria, AVL, tetapi prototaip sebenar hanya didedahkan pada Disember lalu. Jika semuanya berjalan lancar, pengeluaran dijangka bermula sekitar tahun 2027.

Walau bagaimanapun, sebelum anda teruja menantikan kereta sport rotary baharu, perlu dijelaskan bahawa R05E bukan dibangunkan untuk kegunaan jalan raya. Sebaliknya, enjin ini direka khas untuk menyokong “ekonomi altitud rendah” di China. Ia merangkumi penggunaan seperti dron, pesawat elektrik berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL), serta pelbagai platform udara lain yang beroperasi di bawah ketinggian 1,000 meter. Malah, kerajaan China menganggarkan sektor ini berpotensi bernilai sehingga ¥3.5 trilion menjelang 2035.

Menurut Changan, enjin rotary dipilih kerana kelebihannya berbanding sistem pacuan elektrik sepenuhnya. Antaranya termasuk operasi yang lebih lancar, saiz yang kecil, bunyi lebih senyap serta nisbah kuasa-berat yang tinggi. Dalam sesetengah keadaan, konfigurasi rotary ini dikatakan lebih praktikal berbanding sistem elektrik jika mengambil kira berat keseluruhan.

Dari segi spesifikasi, R05E menghasilkan sekitar 71 hp dan mampu berputar sehingga 6,500 rpm, dengan versi lebih berkuasa sedang dibangunkan. Ia menggunakan perumah aluminium dengan salutan komposit nanodiamond untuk mengurangkan geseran, selain rotor segi tiga melengkung, aci eksentrik ringan dan sistem imbangan khas bagi memastikan operasi stabil ketika terbang.

Menariknya, walaupun Changan mempunyai kerjasama strategik dengan Mazda di China, pengeluar Jepun itu tidak terlibat dalam pembangunan enjin ini. Sama ada teknologi ini akan dibawa ke kereta produksi masih menjadi tanda tanya, tetapi sekurang-kurangnya enjin rotary kini kembali mencuri perhatian.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved