Nissan Serena 2026 facelift rasmi di Jepun, siap ada varian Multibox untuk peminat outdoor
Generasi keenam minivan Nissan Serena (kod C28) telah pun berada di pasaran (kecuali Malaysia) sejak tahun 2022 lagi.
Ini bermakna, sudah tiga tahun berlalu dan tiba masanya untuk Nissan mengemas kini penawaran model tersebut, serentak dengan ulang tahun ke-35 Serena yang bakal disambut tahun depan.
Ada beberapa perubahan dibawakan pada Nissan Serena versi facelift ini:
Luaran
Berbanding model pra-facelift, Nissan Serena facelift menampilkan jeriji hadapan baharu dengan rekaan corak V yang tidak simetri, diikuti dengan padanan rim aloi baharu.
Tidak ketinggalan, tiga warna baharu ditawarkan iaitu Moonbow Blue, Aqua Mint dan Deep Ocean Blue.
Infohibur dikuasakan oleh Google
Buat pertama kalinya Serena ditawarkan dengan sistem infohibur NissanConnect yang dikuasakan oleh Google.
Sistem ini menyokong aplikasi Google Maps, Google Assistant dan juga kedai aplikasi Google Play Store.
Sebagai respons kepada permintaan pelanggan, Nissan turut menambah fungsi memori untuk ciri e-Pedal di mana sistem akan mengingati tetapan mod operasi yang telah dibuat sebelum kenderaan dimatikan.
Keselamatan
Aspek keselamatan turut ditambah baik, terutama pada sistem pemantauan keliling pintar (IAVM) dengan fungsi pemandangan 3D, pemandangan hadapan lebar dan pemandangan sisi berkembar ketika cermin sisi dilipat.
Nissan Serena turut menyertakan fungsi peringatan sekiranya pemandu terlupa untuk mengunci pintu, menutup lampu kecemasan, menutup tingkap atau memeriksa tempat duduk belakang.
Varian Autech Line lebih premium
Nissan turut menyediakan pilihan varian Autech Line yang menampilkan ciri berikut:
- kemasan metalik pada perumah cermin sisi
- rim aluminium 16 inci kemasan dark metallic silver
- kemasan krom gelap pada jeriji depan
- upholsteri Tailor Fit yang lebih lembut dan selesa
Varian Multi Box untuk peminat outdoor
Selain varian tujuh dan lapan tempat duduk, Nissan Serena juga boleh didapati dalam varian Multi Box.
Ia menampilkan susunan tempat duduk yang boleh memuatkan lima orang pada satu-satu masa, dan tempat duduk baris ketiga yang digantikan dengan kotak storan berkapasiti besar.
Kotak storan itu boleh digunakan sebagai ruang penyimpanan barang, bangku dan juga meja boleh lipat.
Ruang itu juga boleh dijadikan sebagai tempat tidur, di mana pengguna boleh membentangkan alas tilam yang diperbuat daripada bahan Cordura kalis air.
Pilihan enjin 2.0L NA atau 1.5L e-Power
Di Jepun, Nissan Serena hadir dengan pilihan enjin 2.0 liter aspirasi semula jadi (NA) dengan kuasa 150 PS dan 200 Nm.
Terdapat juga pilihan nadi e-Power yang terdiri daripada enjin tiga silinder 1.5 liter bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk motor elektrik 163 PS dan 315 Nm.
Nissan Serena facelift dijual pada harga dari 2,856,700 yen (RM74,161).
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.






























