Honda N-Box versi EV muncul tahun 2027 untuk saingi BYD Racco, Suzuki dijangka menyusul

Honda N-BOX

Honda Motor merancang untuk memperkenalkan kei car N-Box versi elektrik (EV) sekitar tahun 2027 untuk bersaing dengan kei car buatan BYD, lapor Nikkei Asia.

Honda N-Box mula dilancarkan di Jepun pada tahun 2011, dan kini sudah tiga generasi terjual di pasaran negara matahari terbit.

Ia merupakan salah satu kenderaan yang paling laris terjual di sana untuk tiga tahun berturut-turut, di mana lebih 200,000 unit terjual pada tahun 2024.

Honda masih lagi belum memutuskan spesifikasi serta harga jualan untuk model N-Box versi EV.

Apa yang pasti, N-Box EV tidak akan menggantikan terus peranan N-Box versi enjin pembakaran dalaman (ICE).

Untuk makluman, Honda Jepun mempunyai sebuah produk kei car yang hampir serupa, iaitu N-Van e: untuk kegunaan komersial dan mula dijual sejak tahun 2024.

Ia membawakan spesifikasi motor elektrik tunggal dengan kuasa mencecah 64 PS dan 152 Nm, dan jarak gerak sejauh 245 km untuk sekali cas penuh (data WLTC).

Di Jepun, jualan EV baharu hanya merangkumi 2 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan sepanjang tahun 2024.

Daripada jumlah tersebut, lebih 40 peratus dikuasai oleh model kei car kembar Nissan Sakura EV dan Mitsubishi eK X EV.

Kedua-dua model EV tersebut berkongsi spesifikasi seperti motor elektrik 64 PS/195 Nm, bateri lithium-ion 20 kWh dan jarak pandu mencecah 180 km (data WLTC).

Nissan Sakura EV & Mitsubishi eK X EV

Selain Honda, Suzuki Motor juga turut merancang untuk memperkenalkan kei car EV menjelang tahun 2026.

BYD Racco merupakan kei car yang dibangunkan khas oleh BYD untuk pasaran Jepun.

Dipertontonkan buat kali pertama di Japan Mobility Show 2025, BYD Racco membawakan ciri-ciri berikut:

  • Dimensi 3,395 mm x 1,475 mm x 1,800 mm
  • Pintu gelangsar kiri dan kanan
  • Pek bateri LFP 20 kWh
  • Jarak pandu sejauh 180 km (data WLTC)

Kehadiran BYD Racco jelas membuktikan jenama besar China itu serius untuk menghasilkan sebuah produk yang mematuhi peraturan dimensi yang dikenakan untuk segmen kei car di sana.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved