Peugeot Polygon Concept, guna stereng Steer-by-Wire, bakal guna pada 208 baharu?
Peugeot memperkenalkan Peugeot Polygon Concept, sebuah kereta konsep kompak dinamik bawah empat meter yang berfungsi sebagai pratonton model dan teknologi Peugeot bermula 2027.
Lebih daripada sekadar pameran reka bentuk, konsep ini sudah boleh dipandu dalam keadaan dunia sebenar dan bertindak sebagai platform ujian untuk inovasi masa depan Peugeot.
Hypersquare® & Steer-by-Wire: Kawalan Pemanduan Generasi Baharu
Ciri utama yang menarik pada Peugeot Polygon Concept ialah pengenalan Hypersquare®, stereng baharu yang menggantikan stereng bulat konvensional.
Digabungkan dengan teknologi Steer-by-Wire, sistem ini beroperasi sepenuhnya secara elektronik tanpa sambungan mekanikal antara stereng dan roda.
Putaran maksimum hanya 170 darjah ke setiap arah membolehkan gerakan yang lebih mudah pada kelajuan rendah tanpa perlu memusing stereng berulang kali.
Pada kelajuan tinggi pula, input kecil sudah mencukupi untuk melaras arah kenderaan dengan lebih tepat, menghasilkan tindak balas dan kawalan yang lebih tajam serta stabil.
i-Cockpit® Baharu: Paparan Terus ke Cermin Hadapan
Pada bahagian dalam, Peugeot i-Cockpit® generasi baharu hadir tanpa papan pemuka tradisional.
Semua maklumat pemanduan dipancarkan terus pada cermin hadapan menggunakan paparan Micro-LED bersaiz bersamaan skrin 31 inci dan diletakkan tepat dalam garis penglihatan pemandu untuk meningkatkan keselamatan dan pengalaman imersif.
Visual dan suasana kabin boleh disesuaikan melalui tiga mod pemanduan iaitu Cruise, Fun dan Hyper,dengan grafik dalaman dan luaran yang diselaraskan mengikut karakter pemanduan.
Reka Bentuk Micro-LED & Identiti Baharu Peugeot
Dari segi rekaan, Peugeot Polygon Concept menampilkan bahasa reka bentuk baharu Peugeot yang lebih ringkas dan geometrik.
Lampu signatur tiga cakar ikonik direka semula dalam susun atur mendatar menggunakan teknologi Micro-LED, menawarkan pencahayaan terang serta animasi grafik ketika kenderaan pegun.
Satu lagi skrin Micro-LED diletakkan pada tiang C berhampiran penyambung kabel pengecas, membolehkan tahap pengecasan dipantau dari luar tanpa memasuki kabin.
Pendekatan Lestari & Pembuatan Cekap
Peugeot Polygon Concept menekankan kelestarian melalui penggunaan bahan kitar semula secara meluas dan pengurangan jumlah komponen berbanding kenderaan tradisional.
Pendekatan ini menghasilkan kereta yang lebih ringan, lebih cekap dan memudahkan pemasangan serta peleraian pada akhir kitar hayatnya.
Kerusi direka menggunakan cetakan 3D dan terdiri daripada hanya tiga komponen utama iaitu struktur, kerangka dan kusyen berbanding puluhan komponen dalam kerusi tradisional.
Reka bentuk ini memudahkan penyelenggaraan dan meningkatkan jangka hayat produk.
Polygon Concept hanya menggunakan dua pintu rama-rama XXL berbanding empat pintu konvensional.
Rekabentuk ini bukan sahaja memperbaiki akses kabin, malah mempermudah proses pembuatan setiap komponen, sekali gus menyokong pengurangan jumlah bahagian dan meningkatkan kecekapan pengeluaran.
Selain itu, banyak komponen direka agar mudah ditukar, membolehkan kereta terus berevolusi mengikut keperluan pemilik.
Pendekatan ini secara langsung menyumbang kepada pemanjangan jangka hayat kenderaan dan memberi pengalaman pemilikan lebih lama.






















