Ini Unimog paling mewah pernah dihasilkan Mercedes-Benz
Mercedes-Benz Special Trucks menyambut ulang tahun ke-80 Unimog dengan pendekatan yang cukup luar jangka iaitu memberikan jentera ini sentuhan mewah tanpa menjejaskan kelasakannya.
Dibangunkan bersama Hellgeth Engineering, Unimog ini menggabungkan kemampuan ekstrem meredah pelbagai permukaan dengan tahap keselesaan yang jauh lebih premium. Walaupun secara rasmi ia merupakan model konsep, ia membuktikan ketahanan dan kemewahan boleh wujud seiring.
Model konsep yang berasaskan Unimog U 4023 ini mengekalkan segala ciri penting menjadikan Unimog lagenda seperti gandar portal, casis fleksibel, sistem pacuan empat roda serta differential depan dan belakang.
Di bawah bonet, peningkatan paling ketara ialah penggunaan enjin Mercedes-Benz OM 936 diesel enam silinder yang menggantikan unit empat silinder sebelum ini. Enjin baharu ini menghasilkan 300 hp, menawarkan daya tarikan yang lebih baik serta penghantaran kuasa yang lebih lancar.
Sisi premium jentera ini terserlah pada bahagian luarannya menerusi ciri-ciri seperti kemasan kelabu matte, rim beadlock aluminium bersaiz 20 inci, serta sistem pencahayaan LED penuh.
Cermin sisi konvensional pula digantikan dengan MirrorCam yang menggunakan kamera luaran dan paparan di dalam kabin.
Masuk ke dalam kabin, perubahannya lebih ketara. Kabin berkembar yang boleh memuatkan sehingga empat orang ini menampilkan suasana mewah menerusi balutan kulit berkualiti tinggi dengan jahitan kontras, pencahayaan ambien LED serta karpet lantai berbalut kulit.
Ia jauh berbeza daripada kabin Unimog biasa, namun fungsi sebenarnya sebagai jentera untuk kerja-kerja berat dikekalkan.
Menurut Mercedes-Benz, konsep ini bukan sekadar konsep. Ia digunakan di tapak kerja sebenar bagi mengumpul data dunia nyata bermula tahun depan untuk fasa pembangunan seterusnya.
Ini tidak lain tidak bukan menunjukkan bahawa syarikat itu berminat untuk menawarkannya dalam pasaran.
Peminat segala jenis kenderaan



