3 kereta ubah suai pelajar Nissan Automobile Technical College – Sunny kacuk Skyline!
Nissan Motor Co., Ltd. mengumumkan tiga buah kereta ubah suai hasil karya pelajar Nissan Automobile Technical College akan dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2026.
Projek ini merupakan kemuncak pembelajaran pelajar dalam bidang badan kenderaan dan ubah suai, sekali gus memperlihatkan gabungan kreativiti, kemahiran teknikal serta pemahaman mendalam terhadap sejarah automotif Nissan.
Nissan Automobile Technical College mempunyai lima kampus di Jepun iaitu Tochigi, Yokohama, Aichi, Kyoto dan Ehime.
Selain program pensijilan kebangsaan penyelenggaraan automotif, institusi ini turut menawarkan kursus khusus seperti sukan permotoran serta kerja badan kenderaan termasuk baik pulih dan pengecatan.
Bagi edisi kali ini, pelajar dari kampus Kyoto dan Aichi yang mengikuti kursus berkaitan badan kenderaan menghasilkan tiga buah kereta ubah suai sebagai projek akhir pengajian mereka.
MARCH Eloura
Nissan Kyoto Automobile Technical College- Pelajar tahun keempat, Kursus Penyelenggaraan & Ubah Suai
- Tempoh pembinaan: 6 bulan
MARCH Eloura dibangunkan berteraskan konsep gaya pemanduan bandar, fokus pada prestasi dan reka bentuk, dengan sasaran wanita berusia 20 hingga 30-an yang berkeluarga dan menggunakan kereta sebagai kenderaan kedua untuk kegunaan harian.
Projek ini merupakan percubaan pertama kursus ubah suai menghasilkan kenderaan berfokuskan pengguna wanita dengan pandangan serta maklum balas wanita diambil secara aktif sepanjang proses pembinaan.
Nama Eloura merupakan gabungan perkataan bahasa Inggeris Era (zaman) dan bahasa Itali Luce (cahaya), membawa maksud sebuah kenderaan yang “bersinar merentas zaman dari masa lalu ke masa hadapan”.
Kenderaan asas yang digunakan ialah Ital March (K13 March) hasil projek pelajar terdahulu serta Nissan 312 Bluebird.

Cabaran utama projek ini ialah membina semula Bluebird yang lebih besar agar sepadan dengan dimensi March, sambil mengekalkan identiti kedua-duanya.
Hasilnya, MARCH Eloura tampil dengan karakter comel March digabungkan rekaan bulat dan elegan Bluebird, menyerlahkan gaya seakan Pike Car klasik Nissan.
Warna badan menggunakan dua tona ciptaan pelajar iaitu Sky Mirage, dengan bahagian badan berwarna biru dan bumbung putih. Gabungan ini diinspirasikan daripada imej awan yang bergerak perlahan di langit biru.
Sunny Skyline

- Nissan Kyoto Automobile Technical College
- Pelajar tahun keempat, Kursus Penyelenggaraan & Ubah Suai
- Tempoh pembinaan: 6 bulan
Sunny Skyline dibangunkan berasaskan keinginan untuk menghidupkan semula dua ikon Nissan, iaitu Sunny generasi pertama dan Skyline Hakosuka.
Projek ini menggunakan slogan mengembalikan sinar kegemilangan masa lalu dan disasarkan kepada lelaki pencinta kereta berusia sekitar 45 hingga 55 tahun sebagai kenderaan hobi.
Model asas ialah Nissan Sunny Coupe (KB10), digabungkan dengan bahagian hadapan Skyline Hakosuka hasil projek pelajar tahun keempat.
Sepanjang pembinaan, pandangan pensyarah serta ibu bapa pelajar yang berada dalam kumpulan sasaran turut diambil kira.
Antara ciri utama ialah fender lebar yang dibentuk sepenuhnya dari awal, dengan pelarasan berulang bagi memastikan keseimbangan kiri dan kanan.
Bampar serta cermin sisi menggunakan komponen krom yang dicat semula melalui proses kemasan yang memerlukan ketelitian tinggi.
Kuasa disumbangkan oleh enjin SR20 daripada Nissan Silvia S15, dikenali dengan saiz kompak dan prestasi bertenaga.
Bahagian dalaman pula diberi sentuhan moden melalui panel kemasan kayu khas bagi menghasilkan suasana premium, sambil mengekalkan elemen nostalgia.
Pendekatan ini menepati konsep asal, iaitu mengekalkan bayangan Sunny dan Hakosuka dalam bentuk moden.
Warna badan menggunakan rona merah ciptaan pelajar yang dinamakan Tomare Red, menggabungkan elemen berkilau dan aura premium.
Pemilihan warna merah juga mengambil kira nilai sejarah, memandangkan kedua-dua model asas merupakan kenderaan yang jarang ditemui dan warna merah pada era tersebut dianggap eksklusif.
Re30 Skyline Silhouette

- Nissan Aichi Automobile Technical College
- Pelajar tahun ketiga, Kursus Car Body Master
- Tempoh pembinaan: 2.5 bulan
Re30 Skyline Silhouette dihasilkan berasaskan tarikan kuat jenama Skyline serta aura agresif Skyline Super Silhouette yang pernah menguasai dunia perlumbaan.
Dengan konsep Menghidupkan kembali Super Silhouette, pelajar memilih R30 Skyline sedan empat pintu sebagai model asas, dengan sasaran menggabungkan penampilan ekstrem dan praktikaliti harian.
Nama Re membawa maksud Reborn (kebangkitan semula kereta era 1980-an), Respect (penghormatan), dan Remake (pembinaan semula oleh generasi baharu).
Projek ini ditujukan kepada peminat berusia 50 dan 60-an yang pernah menyaksikan era Super Silhouette, serta generasi muda yang ingin mengenali semangat permotoran zaman tersebut.
Bampar hadapan direka menyerupai spoiler besar Super Silhouette, manakala fender belakang berbentuk petak dilebarkan secara signifikan.
Walaupun pengubahsuaian ini lazimnya menjejaskan fungsi pintu, pelajar berjaya mengekalkan kelegaan mencukupi bagi memastikan kegunaan sebenar tidak terjejas.
Kedudukan lampu belakang turut diubah bagi menyesuaikan dengan pelebaran badan.
Bahagian dalaman dikekalkan hampir sepenuhnya dalam bentuk asal sebagai penghormatan kepada era 1980-an.
Karpet lantai ditempah khas dengan corak sederhana tetapi berkarakter, direka agar menyerlahkan warna biru tempat duduk, termasuk perhatian terhadap perincian seperti benang kemasan.
Warna badan menggunakan kombinasi merah dan hitam sebagai penghormatan kepada Super Silhouette, dengan penambahan partikel metalik pada bahagian merah bagi memberikan sentuhan moden tanpa menghilangkan karakter agresif asal.
Gambar: Nissan
Nissan Kyoto Automobile Technical College