Sekumpulan perantis hasilkan model konsep GT50 sempena ulang tahun ke-50 enjin 5-silinder Audi
Tahukah anda, enjin lima silinder pertama buatan Audi debut pada tahun 1976 menerusi model Audi 100.
Bersempena dengan ulang tahun yang ke-50 dijangka pada tahun depan, sekumpulan perantis Audi dari Neckarsulm, Jerman menghasilkan sebuah projek yang cukup istimewa dinamakan sebagai Audi GT50.
Projek ini mengambil masa enam bulan untuk disiapkan di bawah pengawasan tenaga pengajar dan turut dipantau sendiri oleh Timo Engler selaku Ketua unit Teknologi Automotif, Logistik dan Latihan Pengurusan Perniagaan.
Sekali imbas, Audi GT50 banyak mengambil inspirasi rekaan daripada sejarah warisan perlumbaan Audi seperti Audi 90 Quattro IMSA GTO.
Disebalik imej yang futuristik itu, Audi GT50 sebenarnya bermula sebagai sebuah sedan RS3 sebelum keseluruhan panel luaran dibuka untuk memberikan laluan kepada panel badan yang diperbuat daripada plastik bertetulang gentian kaca ringan.
Bahagian belakang pula menampilkan struktur diffuser dan spoiler yang besar untuk tujuan aerodinamik.
Bumbung pula diambil daripada sebuah Audi 80 yang sebenar.
Untuk ruang kabin, mereka telah membuang segala kelengkapan RS3 yang asal dan menggantikannya dengan kelengkapan perlumbaan yang sebenar.
Malah, mereka turut menghasilkan sendiri struktur bar oleng yang memakan masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan.
Dengan bantuan enjin lima silinder 2.5 liter TFSI, jentera ini berupaya menjana kuasa setinggi 394 hp dan 500 Nm.
Selain daripada Audi GT50, kumpulan perantis dari fasiliti Audi Neckarsulm pernah menghasilkan model konsep yang cukup unik seperti Audi RS6 GTO dan NSU Prinz.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.







