Perodua Traz 2026 rasmi dilancarkan – dua varian, harga dari RM76,100
Selepas pelancaran SUV elektrik QV-E pada awal bulan yang lalu, Perodua kini melancarkan sebuah lagi SUV baharu yang dinamakan sebagai Perodua Traz.
Ditawarkan dalam dua varian (X dan H), Perodua Traz 2026 dijual pada harga bermula dari RM76,100 hingga RM82,000.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Model keempat Perodua guna platform DNGA
Perodua Traz merupakan model keempat Perodua yang mengguna pakai pelantar DNGA (Daihatsu New Global Architecture) selepas Axia, Ativa dan juga Alza.
Seperkara yang harus anda tahu, Traz merupakan kembar kepada SUV segmen B Toyota Yaris Cross yang telah dijual di beberapa pasaran utama Asia Tenggara.
2. Dimensi
Traz diposisikan antara model Ativa dan juga Alza, dan disasarkan untuk golongan berpendapatan sederhana yang mahu naik taraf daripada sedan/hatchback kepada model SUV yang lebih praktikal dan bergaya.
Dari segi ukuran, Traz membawakan dimensi sepanjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,655 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,620 mm.
Berbanding Ativa, Traz mempunyai kelebihan 245 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar, 20 mm lebih tinggi dan jarak antara roda 95 mm lebih panjang.
Jarak kelegaan tanah pula setinggi 210 mm sementara radius putaran adalah sekecil 5.2 meter.
Dengan dimensi panjang ruang kargo 955 mm, Traz boleh memuatkan barangan sehingga 471 liter.
3. Enjin
Traz nampaknya berkongsi enjin 2NR-VE yang sama dengan Perodua Myvi dan Alza, iaitu nadi 1.5 liter NA yang mampu menjana kuasa 105 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 138 Nm @ 4,200 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan roda depan menerusi transmisi Dual Mode CVT (D-CVT), lengkap dengan fungsi penukaran gear secara manual.
Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.
Dengan tangki bahan api sebesar 42 liter, Traz mampu menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 4.69 liter untuk setiap 100 km (21.3 km/liter).
4. Luaran
Traz hadir dengan kelengkapan seperti rim aloi 17 inci (tayar 215/60), lampu utama projektor LED berserta lampu nyalaan siang (DRL) LED, cermin sisi auto lipat, serta lampu belakang LED gaya Lexus.
Varian tertinggi pula didatangkan dengan lampu selamat datang, lampu kabus LED serta pintu tailgate bukaan elektrik dengan penderia kaki disertakan.
Terdapat empat warna disediakan seperti Cranberry Red, Ivory White, Glittering Silver dan Granite Grey.
Untuk varian H pula pembeli boleh mendapatkan pakej warna dua tona Glittering Silver atau Electric Blue dengan bumbung berwarna hitam.
5. Kabin
Secara standard, Traz hadir dengan kelengkapan seperti meter analog, skrin paparan TFT 4.2 inci, skrin Display Audio 9 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, stereng larasan tilt & teleskopik, panel kawalan iklim dengan skrin digital serta corong angin untuk baris kedua.
Ruang kargo pula disediakan tonneau cover.
Varian X menawarkan ciri berikut:
- empat pembesar suara
- tempat duduk balutan fabrik dengan grafik separa
- roda stereng urethane
Sementara varian H pula mendapat kelengkapan seperti:
- tambahan dua pembesar suara (enam secara keseluruhan)
- sistem pendingin hawa automatik
- roda stereng balutan kulit
- sistem kemasukan pintar bebas kunci
6. Keselamatan
Traz menawarkan sehingga enam beg udara, ABS, EBD, BA, brek parkir elektrik (EPB) dengan fungsi Hold, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), cagak ISOFIX, peringatan tali pinggang keledar penumpang belakang, kamera undur serta pendera parkir depan dan belakang.
Ciri keselamatan termaju pula merangkumi ciri berikut:
- Amaran Pra-Pelanggaran
- Bantuan Brek Pra-Pelanggaran (kenderaan dan pejalan kaki)
- Amaran Pergerakan Hadapan (FDA)
- Kawalan Salah Operasi Pedal (PMC)
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
- Pemantauan Titik Buta (BSM)
Ciri kamera keliling 360 darjah dan kamera perakam pemanduan (DVR) pula dikhususkan untuk varian H sahaja.
Perodua Traz GearUp
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.



















































