Toyota sahkan Century Coupe tidak akan menjadi sebuah grand tourer elektrik

Century Coupe 2026 02

Bertempat di Japan Mobility Show 2025 beberapa bulan lepas, Toyota mengesahkan Century akan menjadi satu jenama ultra-mewah yang tersendiri dan tidak lagi dibayangi dengan nama Toyota.

Toyota turut memperlihatkan model konsep terbaharu Century Coupe – sebuah grand tourer dua pintu yang mempunyai elemen crossover.

Perincian tentang model baharu itu belum lagi diputuskan, namun Toyota mengesahkan ia tidak akan ditawarkan dalam versi pacuan elektrik sepenuh masa (EV).

Menurut laporan CarExpert, presiden unit rangkaian kuasa Toyota Takashi Uehara menyebut Century Coupe itu akan dilengkapi dengan enjin sebenar.

“Kami masih lagi belum memutuskan enjin apakah yang bakal dipasang pada model tersebut,” ujarnya.

“Terdapat banyak kombinasi yang tersedia, namun sekarang masa pembangunan telah dikurangkan, jadi ia akan berlaku tidak lama lagi.

Sebagai sebahagian daripada strategi pelbagai cara (multipathway strategy), Toyota turut membangunkan enjin pembakaran dalaman generasi baharu untuk pelbagai keperluan di peringkat global.

Selain tetapan empat silinder, rekaan enjin yang modular itu membolehkan Toyota mengubah bilangan silinder untuk disesuaikan dengan model-model tertentu, seperti enjin enam silinder sebaris atau enjin bentangan V8 serba baharu.

Perkara ini turut disahkan sendiri oleh Takashi Uehara kepada pihak Engear TV semasa sesi taklimat tertutup bersama media Asia di Japan Mobility Show 2025.

Di Jepun, generasi baharu sedan Century kini dikuasakan oleh enjin hibrid bentangan V8 (kod 2UR-FSE) 5.0 liter dengan kuasa keseluruhan mencecah 425 hp.

Sementara Century SUV pula dilengkapi enjin V6 (kod 2GR-FXS) 3.5 liter dengan sistem plug-in hybrid (PHEV) dua motor elektrik menghasilkan kuasa keseluruhan 406 hp.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved