Pusat Servis Isuzu Balakong terima status 4S

Isuzu Malaysia mengumumkan pusat servis yang dikendalikan oleh SV Prestige Auto di Balakong telah menerima status 4S.

Ini bermakna, Pusat 4S Isuzu Balakong kini menjadi pengedar ketiga di Lembah Klang yang menjalankan operasi bersepadu lengkap termasuk jualan kenderaan, layanan selepas jualan, kemudahan mengecat dan baik pulih badan bertauliah.

Menampilkan identiti korporat baharu Isuzu (CI), cawangan ini terletak di kawasan perindustrian ringan baharu dan menawarkan barisan lengkap Isuzu D-Max serta trak komersial lain untuk dijual.

Bilik pameran boleh menempatkan dua unit trak pikap yang lengkap dengan paparan bebas-kertas, di mana pelanggan boleh meninjau kemampuan off-road D-Max secara digital melalui simulator realiti maya.

Sementara pusat servis pula boleh mengendalikan enam kenderaan sekaligus yang bukan sahaja menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan biasa, tetapi boleh menawarkan khidmat penjajaran roda serta mempunyai kebuk mengecat saiz penuh.

Pusat cat & badan kenderaan itu kini diiktiraf oleh syarikat-syarikat insurans automotif yang besar serta menjadi panel kepada lima syarikat penanggung insurans utama.

Ia juga sedang menunggu kelulusan untuk menjalankan baik pulih kemalangan berat memandangkan semua kelengkapan dan latihan sudah pun dijalankan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi berkata, Pusat 4S yang terbaharu ini mencerminkan kesungguhan Isuzu dalam memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan.

“Pembukaan Pusat 4S Isuzu terbaharu ini menampilkan kemudahan moden dan bersepadu yang mencerminkan usaha berterusan kami untuk memastikan pemilikan kenderaan Isuzu menjadi satu pengalaman yang menyenangkan.

“Dengan menawarkan layanan dan servis penjagaan kenderaan yang lengkap di bawah satu bumbung, pelanggan boleh berlapang dada kerana kenderaan Isuzu mereka menerima penjagaan yang menyeluruh dan terjamin,” ujar Yamaguchi.

Pusat 4S SV Prestige Auto Isuzu baharu ini terletak di Lot 1917-B, Jalan KPB 7, Kawasan Perindustrian Kampung Baru Balakong. Bersama dengan Pusat 3S Isuzunya di Puchong, bilik pameran SV Prestige Auto dibuka setiap hari, sementara pusat servisnya dibuka dari Isnin hingga Sabtu.