Lotus bagi nama yang agak pelik untuk Eletre PHEV: For Me
Lotus China mengumumkan ketibaan Eletre varian plug-in hybrid (PHEV) untuk pasaran China dengan membawakan nama yang cukup aneh: For Me.
Menurut laporan CarNewsChina, Lotus For Me bakal dilancarkan secara rasmi pada suku pertama 2026.
Dari segi dimensi, Eletre PHEV ini tidak membawakan perbezaan yang ketara berbanding versi EV, dengan ukuran panjang 5,103 mm, lebar 2,019 mm, tinggi 1,636 mm dan jarak antara roda 3,019 mm.
Ia turut dilengkapi sistem brek Brembo dengan angkup enam omboh di depan, spoiler aktif serta tayar kustom Pirelli P Zero 5 LTS.
Aspek pengendalian ditambah baik dengan sistem suspensi jenis dual-chamber, dual-valve dengan ciri Kawalan Redaman Berterusan (CDC), peredam adaptif serta bar pengimbang adaptif.
Sistem plug-in hybrid yang dimuatkan pada Lotus For Me ini terdiri daripada enjin 2.0 liter turbo dengan dua motor elektrik (satu untuk setiap gandar).
Kuasa maksimum mencapai 952 hp untuk membolehkan pecutan sepantas 3.3 saat dari 0-100 km/j.
Dengan senibina 900V, bateri 70 kWh itu boleh dicas sepantas 8 minit dari 30-80 peratus SoC.
Jarak gerak sifar emisi pula boleh mencecah sehingga 420 km (data CLTC).
Buat masa ini, Lotus masih belum mendedahkan harga jualan sebenar untuk model For Me ini.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.





