Mercedes-Benz GLE 400 e PHEV rasmi di Malaysia – unit CKD, dari RM498,888

MB GLE400e_ (1)2

Sebuah lagi model SUV baharu dilancarkan oleh Mercedes-Benz Malaysia, iaitu GLE 400 e 4MATIC yang dilengkapi dengan sistem plug-in hybrid.

Nama panjangnya: Mercedes-Benz GLE 400e 4MATIC with EQ Hybrid Technology AMG Line.

Ia merupakan model GLE PHEV pertama yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia dan dipasang di kilang Mercedes-Benz di Pekan, Pahang.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Enjin

GLE 400 e dilengkapi dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo menghamburkan 252 hp @ 5,800 rpm dan daya kilas 400 Nm @ 2,000-3,200 rpm, dibantu dengan motor elektrik 154 hp/440 Nm.

Secara keseluruhan, GLE 400 e mampu menghasilkan kuasa setinggi 381 hp dan 650 Nm, membolehkan pecutan sepantas 6.1 saat dari 0-100 km/j.

Kelajuan tertinggi dihadkan kepada 210 km/j.

Sistem PHEV ini membenarkan GLE 400 e bergerak dalam mod sifar emisi sejauh 114 km (data WLTP), dan boleh dimanfaatkan ketika pemanduan off-road.

 

2. Luaran

GLE 400 e didatangkan dengan kemasan luaran AMG Line yang menampilkan jeriji hadapan bercorak bintang Mercedes, apron depan dan belakang, panel sisi AMG, rim aloi lima jejari AMG 21 inci, serta tempat pemijak sisi gaya aluminium.

SUV ini turut didatangkan dengan unit lampu Multibeam LED dengan fungsi Adaptive Highbeam Assist Plus.

 

3. Dalaman

SUV lima tempat duduk ini menampilkan kelengkapan seperti roda stereng sports balutan kulit nappa, pedal sports AMG, upholsteri gabungan kulit ARTICO/mikrofiber MICROCUT, serta kemasan trim kayu Anthracite.

Selain itu, terdapat sistem multimedia MBUX dengan dua skrin lebar 12.3 inci, sistem audio keliling Burmester dengan 13 pembesar suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, dan sistem pencahayaan ambien 64-warna.

 

4. Keselamatan

Secara standard, GLE 400 e ini hadir dengan ciri keselamatan termasuklah Bantuan Stereng Aktif, Bantuan Kekal Lorong Aktif, Bantuan Titik Buta, Bantuan Pemantauan Jarak Aktif, serta fungsi amaran keluar kenderaan.

Ciri lain termasuklah Parking Package dengan kamera 360 darjah, Active Parking Assist, dan sistem pemantauan tekanan tayar.

 

5. Harga

Mercedes-Benz GLE 400e 4MATIC with EQ Hybrid Technology AMG Line dijual pada harga bermula dari RM498,888 atas jalan tidak termasuk insurans.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved