Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC kini di Malaysia – dari RM329,888

MB GLC 200_ (1)

Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC baharu, menambah pilihan kepada barisan GLC dengan varian enjin pembakaran dalaman yang dinanti-nantikan.

Model ini merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang keluar dari kilang Mercedes-Benz di Pekan.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang GLC 200 4MATIC baharu ini:

 

Enjin

GLC 200 4MATIC ini ditawarkan dengan enjin 2.0 liter empat silinder sebaris menghasilkan 204 hp @ 5,800 rpm dan daya kilas 320 Nm @ 1,600-4,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda 4MATIC menerusi transmisi 9G-Tronic, serta dipadankan dengan teknologi hibrid ringan 48-voltan (tambahan kuasa 23 hp/205 Nm).

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.8 saat sementara kelajuan tertinggi 221 km/j.

 

Luaran

Reka bentuk luaran GLC 200 4MATIC ini dihiasi dengan kemasan AMG Line, menampilkan apron depan AMG, roda aloi AMG 20 inci serta lampu belakang dengan efek tiga dimensi.

Lampu utama LED High Performance pula dilengkapi dengan bantuan suluhan tinggi adaptif (AHA) untuk penglihatan yang lebih jelas dalam pelbagai keadaan.

 

Kabin

Ruang kokpit pula menempatkan skrin kluster digital 12.3 inci, skrin infohibur sebesar 11.9 inci yang condong ke arah pemandu, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem navigasi dan paparan realiti terimbuh.

Selain itu, terdapat roda stereng sport balutan kulit nappa, pedal AMG, upholsteri kulit ARTICO, trim kayu Anthracite serta kemasan logam pada konsol tengah.

Ciri lain termasuklah enam port pengecasan pantas USB Type-C, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta kamera 360 darjah dengan fungsi pandangan tembus bonet.

 

Keselamatan

Secara standard, GLC 200 4MATIC didatangkan dengan ciri keselamatan termaju termasuklah Bantuan Titik Buta, Bantuan Kekal Lorong Aktif, Bantuan Brek Aktif, sistem Pre-Safe, Parking Package, Active Parking Assist, dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar.

 

Harga

Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz GLC 200 4MATIC dijual pada harga bermula dari RM329,888 atas jalan tidak termasuk insurans.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved