Mercedes-Benz GLB 2026: pengganti EQB, jarak pandu lebih 600 km
Mercedes-Benz mengumumkan ketibaan generasi baharu SUV kompak GLB-Class 2026 bagi menggantikan GLB generasi pertama yang telah dijual sejak 2019.
GLB 2026 juga turut bertindak sebagai pengganti EQB, di mana untuk permulaan hanya versi pacuan elektrik sahaja ditawarkan kepada pengguna.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Kongsi platform CLA
GLB 2026 ini dibina berdasarkan pelantar Mercedes-Benz Modular Architecture (MMA), platform yang sama digunakan pada model sedan CLA-Class.
Ia merupakan model kedua yang lahir daripada platform MMA, namun dengan aspek praktikaliti yang lebih baik.
2. Dimensi
Generasi baharu SUV ini masih lagi mengekalkan bentuk ikonik berkotak GLB, namun dengan dimensi yang lebih besar.
Ia kini berukuran sepanjang 4,732 mm, atau 98 mm lebih panjang berbanding GLB terdahulu, dengan lebar 1,861 mm (+27 mm), dan tinggi 1,687 mm (-14 mm).
Jarak antara roda pula kini sepanjang 2,889 mm, atau 60 mm lebih panjang.
Disebabkan pertambahan ukuran dimensi itu tadi, GLB baharu menawarkan radius putaran sebesar 11.9 meter.
Kapasiti kargo bermula dari 480 liter (540 liter untuk versi 5-tempat duduk), dan boleh dibesarkan sehingga 1,605 liter (1,715 liter untuk versi 5-tempat duduk).
Terdapat juga ruang frunk sebesar 127 liter.
3. Luaran
Rekaan luaran GLB baharu ini membawakan pendekatan yang hampir sama daripada model-model moden Mercedes seperti CLA.
Bahagian depan menampilkan unit lampu utama yang lebih kecil, grafik DRL berbentuk bintang serta bar LED melintang penuh yang menghubungkan antara kedua-dua perumah lampu itu tadi.
Seksyen belakang pula mengingatkan kita pada model EQXX Concept, dengan bar lampu menegak nipis yang dihubungkan dengan bar LED melintang penuh.
Tidak ketinggalan, grafik berbentuk bintang yang turut menghiasi ruang bar LED itu tadi.
4. Kabin
Tidak lagi menampilkan susun atur yang lasak, GLB 2026 kini membawakan tetapan Mercedes Superscreen yang terdiri daripada tiga skrin berasingan (skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 14 inci, skrin penumpang 14 inci).
Kesemua skrin itu tadi beroperasi menggunakan sistem MBUX generasi ke-4 yang turut merangkumi sistem kepintaran buatan.
Selain konfigurasi lima tempat duduk, GLB juga boleh didapati dalam versi tujuh tempat duduk.
Terdapat juga bumbung kaca panorama elektrokromik yang turut menampilkan opsyen gugusan bintang bercahaya.
5. Pacuan elektrik
Untuk permulaan, terdapat dua varian pacuan elektrik yang bakal ditawarkan kepada pengguna.
Varian asas GLB 250+ with EQ Technology hadir dengan motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 268 hp dan 335 Nm (boost sehingga 454 Nm) dengan pecutan 0-100 km/j sepantas 7.4 saat.
Pek bateri berkapasiti 85 kWh membenarkan jarak pandu sejauh 630 km untuk sekali cas penuh, ditampung dengan senibina elektrik 800-voltan.
Sementara varian GLB 350 4Matic with EQ Technology mendapat tambahan motor elektrik pada gandar hadapan, menghasilkan kuasa keseluruhan 349 hp dan 515 Nm dan pecutan 0-100 km/j sepantas 5.5 saat.
Jarak gerak pula sekitar 615 km, satu angka yang cukup impresif untuk sebuah model pacuan semua roda.
6. Varian baharu menyusul
Mercedes turut mengesahkan GLB elektrik versi aras mula akan menyusul pada tahun hadapan, diikuti tiga varian hibrid dengan teknologi 48-voltan.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

































