HORSE Powertrain (usahasama Geely – Renault) & SRB bangunkan enjin untuk pikap lumba

HORSE H13 Nascar engine

Nama HORSE Powertrain mungkin asing kepada khalayak ramai namun di belakangnya berdiri struktur global yang besar.

Perniagaan HORSE Powertrain tertumpu di dalam pembangunan rangkaian kuasa hibrid dan enjin pembakaran dalaman yang beroperasi melalui dua divisyen utama, Aurobay Technologies dan Horse Technologies.

Syarikat menjadi pembekal kepada beberapa OEM utama dunia termasuk Renault Group, Geely Auto, Volvo Cars, Proton, Nissan dan Mitsubishi Motors Corporation.

HORSE Powertrain dimiliki bersama oleh Renault Group (45 peratus), Geely (45 peratus) dan Aramco (10 peratus).

Ibu pejabat HORSE Powertrain terletak di London, UK, dan syarikat mengendalikan 17 kilang dan lima pusat R&D di seluruh dunia dengan kira-kira 19,000 kakitangan.

Pikap Lumba

Kini, HORSE Powertrain melangkah ke dunia sukan permotoran Brazil menerusi kerjasama dengan Sports & Racing Brazil (SRB), bagi membangunkan enjin untuk perlumbaan pikap.

Kategori baharu ini dijadual bermula pada musim 2027, dengan perlumbaan berlangsung di litar asfalt dan permukaan tanah.

Semua jentera akan menggunakan casis standard, manakala enjin dibekalkan oleh HORSE Powertrain.

Kenderaan pertama dirancang untuk diperkenalkan pada 2026, selepas proses ujian pembangunan termasuk perlumbaan pameran yang melibatkan pengeluar, pasukan dan peminat.

Enjin HORSE H13 Jadi Teras

Barisan awal jentera akan dikuasakan oleh varian enjin HORSE H13, 1.3 liter turbo empat silinder yang direka untuk beroperasi dengan teknologi flex-fuel, selari dengan keperluan pasaran Brazil.

Kategori ini menggunakan bahan api berasaskan etanol, yang menawarkan kitaran karbon rendah well-to-wheel dengan pengurangan pelepasan CO₂ sehingga 70 peratus berbanding bahan api fosil.

Dari segi rekaan, H13 menampilkan kepala silinder berbentuk Delta yang inovatif serta manifold ekzos bersepadu, menjadikannya kompak, ringan dan mempunyai pusat graviti rendah.

Ia turut dilengkapi sistem elektronik canggih untuk kawalan injap wastegate turbo dan injap ekzos, selain sistem suntikan terus untuk penghantaran kuasa dan tork tinggi dengan kecekapan bahan api yang baik dalam perlumbaan.

Dibina di Brazil, DNA Prestasi

Enjin HORSE H13 untuk kategori ini akan dihasilkan di kilang HORSE Powertrain di Curitiba, Brazil, di bawah divisyen Horse Technologies dan dibangunkan dengan DNA prestasi.

SRB mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam pembangunan teknikal dan pembuatan kenderaan perlumbaan, serta memainkan peranan penting dalam inovasi, keselamatan dan kecekapan sukan permotoran Brazil.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved