Toyota GR GT dan GR GT3, V8 RWD hibrid dan biasa, lebih 640 bhp, 850Nm!
Selepas diselubungi pelekat samaran dan dibawa ke Goodwood, Toyota Gazoo Racing (TGR) akhirnya memperkenalkan dua model andalan serba baharu GR GT dan GR GT3.
Kedua-duanya dipamerkan sebagai prototaip dan masih dalam pembangunan dan dibangunkan berasaskan falsafah TGR untuk menghasilkan kereta berjiwa perlumbaan yang sentiasa menjadi lebih baik.
Pembangunan model ini bermula daripada peringkat formulasi konsep dan berpusat kepada Pengerusi TMC Akio Toyoda (Master Driver Morizo).
Pemandu profesional Hiroaki Ishiura, Tatsuya Kataoka, Naoya Gamou, pemandu bukan profesional (gentleman driver) Daisuke Toyoda serta pemandu penilai dalaman bekerjasama rapat dengan jurutera.
GR GT dibangunkan mengikut prinsip driver first iaitu memahami dan memenuhi keperluan pemandu sepenuhnya.
Kaedah sama diterapkan pada GR GT3 yang merupakan kereta perlumbaan berasaskan GR GT.
Kedua dua model ini diletakkan sebagai model andalan baharu yang meneruskan legasi Toyota 2000GT dan Lexus LFA dengan membawa misi meneruskan ramuan rahsia pembuatan kereta Toyota kepada generasi baharu.
Penamaan ini bermakna, Supra tiada pengganti secara langsung.
GR GT – 4.0L V8 hibrid
GR GT dibangunkan sebagai kereta perlumbaan yang sah untuk jalan raya.
Fokus pembangunan bukan sekadar menambah prestasi dinamik tetapi juga mencapai tahap kesatuan kereta dan pemandu supaya interaksi dengan kereta berlaku pada setiap masa.
Model ini dilengkapi sistem hibrid yang menggabungkan enjin baharu 4.0 liter V8 pengecas berkembar bersama motor elektrik tunggal.
Output sistem maksimum disasarkan sekurang-kurangnya 641 bhp dengan tork sistem 850Nm atau lebih.
Pembangunan memberi tumpuan kepada tiga elemen utama iaitu pusat graviti rendah, berat ringan dengan ketegaran tinggi dan aerodinamik yang optimum.
Pusat graviti serendah mungkin
Pembangunan GR GT bermula dengan matlamat mendapatkan pusat graviti sangat rendah dengan menurunkan ketinggian keseluruhan kereta dan kedudukan pemandu.
Model ini menggunakan konfigurasi enjin depan dan pacuan roda belakang untuk pengendalian lebih mudah pada had yang ekstrem.
Kedudukan enjin, transaxle belakang dan komponen berat lain dioptimumkan untuk merendahkan titik graviti kereta.
Tinggi pusat graviti pemandu juga dijadikan hampir sama dengan kereta untuk meningkatkan rasa kesatuan dan kawalan.
Rangka aluminium sepenuhnya pertama Toyota
GR GT menggunakan rangka badan aluminium sepenuhnya buat pertama kali dalam sejarah Toyota.
Panel badan pula menggunakan CFRP dan bahan lain untuk menghasilkan struktur yang kuat tetapi ringan.
Reka bentuk terbalik, bermula dari aerodinamik
Bagi GR GT, proses pembangunan adalah terbalik berbanding kereta produksi biasa.
Bentuk aerodinamik ideal ditetapkan terlebih dahulu sebelum pereka bentuk menghasilkan lakaran luaran.
Jurutera aerodinamik dan pereka bekerjasama untuk mendapatkan penyejukan serta kecekapan aliran udara terbaik.
Bahagian dalaman pula direka berdasarkan ergonomik bagi mendapatkan kedudukan pemanduan profesional dan tahap lihat keluar optimum.
Walaupun berorientasikan litar, aspek kesesuaian untuk kegunaan harian tetap diambil kira.
GR GT3 sebagai jentera lumba
GR GT3 berkongsi tiga elemen utama GR GT iaitu pusat graviti rendah, berat ringan dengan ketegaran tinggi dan aerodinamik.
Ia memenuhi spesifikasi FIA GT3 dan disasarkan sebagai kereta yang dipilih mereka yang mahu menang tetapi masih mudah dipandu oleh sesiapa sahaja.
Sebagai jentera GT3, model ini menggunakan enjin 4.0 liter V8 dengan pengecas turbo berkembar.
Ukurannya juga berbeza, GR GT memiliki panjang 4,820mm, lebar 2,000mm dan tinggi 1,195mm.
GR GT3 pula lebih pendek dengan panjang 4,785mm, sedikit lebar iaitu 2,050mm dan lebih rendah dengan tinggi 1,090mm.
Selain meningkatkan daya saing GR GT3, TGR juga merancang menyediakan sokongan pelanggan yang berlumba untuk memastikan pengalaman perlumbaan yang lebih mendalam.
Pembangunan berdasarkan dunia perlumbaan
GR GT dan GR GT3 dibangunkan dengan kaedah pembangunan baharu yang memanfaatkan data perlumbaan.
Penggunaan simulator pemanduan digunakan sejak awal bagi memperhalusi karakter asas kenderaan.
Ujian dunia sebenar dilakukan di Shimoyama, Fuji Speedway, Nürburgring dan juga jalan awam.
Seperti model GR lain, kedua duanya diuji berulang kali sehingga gagal kemudian diperbaiki demi mencapai tahap prestasi dan ketahanan yang diperlukan.
Kepada yang sudah berkenan, TGR menyasarkan pelancaran sekitar 2027!
Toyota GR GT (prototaip)
Toyota GR GT3 (prototaip)










































