Nissan Serena e-Power C28 dipertontonkan – pelancaran Q1 2026 sebagai model CKD

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) baru-baru ini mengadakan sesi pratonton bagi model MPV baharu yang bakal dilancarkan pada tahun depan, iaitu Nissan Serena e-Power.

Generasi keenam Nissan Serena e-Power (C28) itu dikuasakan oleh sistem pacuan e-Power yang terdiri daripada enjin 1.4 liter, motor elektrik 163 PS dan 315 Nm dan pek bateri lithium-ion 1.769 kWh.

Tidak seperti kenderaan hibrid di pasaran, sistem e-Power ini bergantung sepenuhnya pada motor elektrik untuk bergerak.

Enjin 1.4 liter itu tadi hanya bertindak sebagai unit penjana kuasa, namun tetap didatangkan dengan teknologi sistem pancitan terus dan Mirror Bore Coating yang mampu mengurangkan geseran, gegaran dan bunyi.

Kadar penggunaan bahan api adalah serendah 5.4 liter untuk setiap 100 km, dan MPV ini boleh bergerak sejauh 1,000 km untuk setangki minyak penuh.

Daripada segi penampilan, Serena e-Power C28 ini membawakan imej yang lebih moden, dimulakan dengan jeriji V-motion dan bampar yang lebih kemas, lampu belakang dengan grafik boomerang, serta logo Nissan baharu.

Rim pula bersaiz 16 inci.

Menurut ETCM lagi, Nissan Serena e-Power merupakan model e-Power yang pertama akan dipasang di kilang Serendah.

Harga jualan serta spesifikasi penuh Nissan Serena e-Power akan diumumkan pada pelancaran rasmi yang dijangka berlangsung pada suku pertama 2026 (Q1 2026).