Honda NSX NA1 ‘lahir semula’, dikenali sebagai “Tensei”
Pininfarina dan JAS Motorsport mendedahkan imej rasmi projek restomod Honda NSX generasi pertama yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Ia juga turut mendapat nama rasmi, iaitu “Tensei” yang membawa maksud kelahiran semula (rebirth) dalam bahasa Jepun.
Daripada imej yang dibekalkan, rupa asal NSX NA1 masih lagi dikekalkan dengan berhati-hati, seperti lampu hadapan jenis pop-up, spoiler belakang kekal dan bumbung kanopi hitam.
Namun, terdapat beberapa perubahan seperti penambahan lampu nyalaan siang (DRL) LED, liang pada hud hadapan serta liang pengudaraan yang lebih besar pada dapra belakang.
Penampilan Tensei juga telah ditambah baik dengan jarak runut belakang yang lebih lebar, serta jarak overhang belakang yang telah dipendekkan.
Buat masa ini, spesifikasi sebenar Tensei masih lagi belum didedahkan.
Namun dalam siaran terdahulu, pihak JAS Motorsport akan menala kembali enjin asal bentangan V6 3.0 liter, sudah pasti kuasanya akan melebihi angka atas kertas 270 hp/285 Nm semasa dilancarkan tahun 90-an.
Pihak JAS Motorsport turut mengesahkan Tensei ini bakal menampilkan binaan badan yang diperbuat daripada gentian karbon.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.






