Toyota Corolla 2026 untuk Eropah, warna kelabu baharu, terus kekal di pasaran
Sana-sini model baharu dan canggih dilancarkan namun Toyota Corolla tetap unggul ditawarkan di serata dunia dan terbaru diperkemaskan untuk pasaran Eropah.
Corolla tidak boleh dipandang remeh dengan lebih 50 juta unit terjual merentasi 12 generasi, menjadikannya model paling popular dunia.
Untuk 2026, Corolla menerima kemaskini yang menekankan rekaan, kelestarian dan pengalaman digital.
Warna Onyx Grey Matt & Storm Grey

Kemas kini terbaharu menumpukan kepada penampilan dan kelestarian.
Onyx Grey kusam diperkenalkan secara eksklusif untuk model GR SPORT hatchback dan Touring Sports.
Warna kusam ini juga kali pertama diperkenalkan untuk siri Corolla. Selain itu, Toyota turut menawarkan warna Storm Grey metallic.
Pengenalan Onyx Grey kusam pencapaian penting bagi pembuatan Toyota di Eropah.

Kilang Toyota Manufacturing UK di Burnaston menjadi fasiliti pertama menghasilkan warna radikal ini untuk produksi besar.
Kemasan kusam yang menarik menyerlahkan lengkung badan Corolla dengan jelas secara visual.
Warna baharu ini dijangka diperkenalkan di United Kingdom sebelum akhir 2025 dan akan diperluaskan ke pasaran Eropah lain pada 2026.
Storm Grey pula ialah warna metalik digilap dalam dengan identiti moden dan timeless yang memberikan penampilan berteknologi tinggi secara bersahaja.
Kabin Lebih Lestari
Corolla meningkatkan kelestarian melalui fabrik Samara, bahan kitar semula yang tahan lasak dan lembut sentuhan.
Pada varian Mid hatchback dan Touring Sports, Samara digunakan lebih meluas pada bahagian belakang dan kusyen tempat duduk, serta digunakan pada tempat duduk Sedan Mid+ buat kali pertama.
Kulit alternatif juga digunakan pada stereng dan tombol gear.
Hibrid 1.8L & 2.0L
Semua Corolla 2026 mengekalkan teknologi hibrid Toyota generasi terkini dengan pilihan enjin 1.8 liter atau 2.0 liter yang menghasilkan 178 hp.
Digital & Multimedia
Setiap varian dilengkapi paparan digital 12.3 inci dan sistem Toyota Smart Connect+ dengan skrin 10.5 inci, termasuk navigasi berasaskan awan dengan maklumat trafik semasa.
Keselamatan Standard
Corolla dilengkapi pakej keselamatan Toyota T-Mate dan Toyota Safety Sense secara standard, membantu pemandu mengenal pasti bahaya, memberikan amaran serta bantuan pemanduan, brek dan stereng jika perlu.
Sistem ini juga mempunyai kemaskini dalam talian (over-the-air).
Pengeluaran & Jualan

Corolla Hatchback dan Touring Sports dihasilkan di Toyota Manufacturing UK, manakala sedan di Toyota Motor Manufacturing Turkey.
Jualan Corolla 2026 untuk pasaran Eropah dijadual bermula Mac 2026, bergantung kepada pasaran.
Toyota Corolla Onyx Grey Matt 2026
Toyota Corolla Storm Grey 2026







