Terdapat pengeluar lain yang berminat dengan enjin boxer selain Porsche dan Subaru

Yangwang U7 (2)

Bila kita berbicara tentang enjin bentangan rata atau boxer, dua nama pengeluar ini akan mula bermain di fikiran, iaitu Porsche dan Subaru.

Konfigurasi enjin yang unik ini menawarkan manfaat dari segi pengendalian kenderaan yang lebih baik disebabkan titik graviti yang rendah berbanding enjin konvensional.

Anda mungkin tidak menyangka satu nama yang cukup popular di China akan turut terjebak dalam menghasilkan enjin boxer.

Tidak lain dan tidak bukan, BYD!

Berita ini ternyata mengejutkan kerana BYD itu sendiri sudah mempunyai keluarga enjin yang tersendiri untuk barisan model plug-in hybrid (PHEV).

Enjin boxer 2.0 liter turbo serba baharu ini akan digandingkan dengan empat motor elektrik untuk menggerakkan sedan mewah Yangwang U7.

Secara keseluruhan, ia mampu menjana kuasa setinggi 1,287 hp dan 1,680 Nm.

Pecutan 0-100 km/j pula boleh diselesaikan dalam tempoh 2.9 saat sahaja, satu angka yang cukup impresif untuk sedan seberat 3 tan!

Menariknya, enjin tersebut hanya berkhidmat sebagai unit penjana (Range Extender) untuk mengecas bateri yang kemudiannya menyalurkan kuasa kepada motor elektrik.

Namun dalam keadaan tertentu, enjin tersebut boleh menyalurkan kuasa 272 hp/380 Nm terus kepada gandar belakang.

Dengan bantuan enjin boxer itu tadi, BYD mampu menghasilkan Yangwang U7 dengan rekaan hud enjin yang lebih rendah, menjadikan penampilan sedan yang lebih sporti.

Selain itu, aspek NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) sedan ini juga jauh lebih baik disebabkan oleh kurang gegaran yang dihasilkan oleh enjin boxer.

Dengan pakej unit penambah jarak boxer itu tadi, Yangwang U7 boleh bergerak sejauh 966 km untuk satu tangki penuh dan bateri cas penuh, manakala jarak sifar emisi pula boleh mencapai sehingga 193 km.

Di China, BYD Yangwang U7 dijual pada harga bermula dari RMB628,000 hingga RMB708,000 (RM367 ribu-RM414 ribu).

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved