Topi keledar Shoei GT-Air 3 Smart tampil dengan AR penuh terbina dalam, harga RM4,955

Shoei-Eyelights-GT-Air-3-Smart-00002-2048×2048

Dengan kemajuan teknologi hari ini, topi keledar bukan lagi sekadar pelindung kepala tetapi ia boleh juga menjadi alat pintar yang boleh menyampaikan maklumat penting untuk meningkatkan pengalaman menunggang.

Terbaru, Shoei membuktikan perkara ini dengan memperkenalkan GT-Air 3 Smart, hasil kerjasama dengan pakar teknologi Perancis, EyeLights. Ia digelar sebagai topi keledar motosikal pertama di dunia dengan sistem realiti terimbuh (AR) yang benar-benar terbina terus di dalam struktur topi keledar.

Ciri utama model ini ialah head-up display (HUD) generasi ketiga daripada EyeLights. Tidak perlu lagi peranti yang besar kerana seluruh sistem AR telah disepadukan terus ke dalam cangkerang topi keledar.

Sebuah projektor nano OLED kecil bertindak memaparkan maklumat seperti kelajuan, navigasi GPS, panggilan dan amaran radar di dalam pandangan penunggang, seolah-olah terapung kira-kira tiga meter di hadapan.

Dengan ini, penunggang boleh kekal fokus pada jalan tanpa perlu melihat ke bawah ke meter atau telefon di bar hendal.

Masalah terbesar HUD sebelum ini ialah paparan sukar dibaca di bawah cahaya matahari terik. Namun EyeLights menjanjikan paparan HD penuh melalui projektor nano OLED yang kekal jelas walaupun matahari tepat mengenai visor.

Mereka juga mendakwa teknologi ini boleh mengurangkan masa tindak balas penunggang lebih 32%, sekali gus meningkatkan ciri keselamatan.

Selain AR, GT-Air 3 Smart turut dilengkapi sistem komunikasi terbina sepenuhnya yang merangkumi pembesar suara, mikrofon pembatalan hingar aktif, sokongan untuk Siri dan Google, serta sistem interkom universal yang boleh berfungsi dalam mod online dan offline.

Hayat bateri pula dikatakan melebihi 10 jam dan semua komponen elektronik disembunyikan kemas di dalam cengkerang tanpa modul luar yang mengganggu rupa topi keledar.

Dari segi keselamatan, topi keledar ini mempunyai pensijilan DOT dan ECE 22.06 melalui penggunaan cengkerang AIM. Ia juga dilengkapi visor matahari QSV-2, visor luar CNS-1C dengan Pinlock dan sistem pengudaraan Defogger yang dipertingkat.

Ditawarkan dalam lima warna dan saiz dari S hingga XXL, GT-Air 3 Smart dijual pada harga US$1,199 (RM4,955). Harganya hampir dua kali ganda model biasa tetapi anda membayar untuk teknologi terkini dan integrasi yang benar-benar kemas.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved