iCaur V23 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM119,800

iCaur V23 2026 (1)

iCaur Malaysia baru-baru ini mengumumkan harga jualan rasmi bagi SUV off-road elektrik V23 untuk pasaran tempatan, bermula dari RM119,800 untuk versi 2WD, dan RM132,800 untuk versi iWD.

Varian 2WD dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda belakang menghasilkan 136 PS dan 180 Nm, digandingkan dengan bateri LFP 59.9 kWh untuk jarak pandu sejauh 360 km (data NEDC).

Sementara varian iWD pula mendapat tetapan dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 211 PS dan 292 Nm, bateri NMC 81.8 kWh untuk jarak gerak sejauh 430 km.

V23 menyokong pengecasan AC 6.6 kW, serta pengecasan pantas DC 85 kW, atau sehingga 104 kW untuk varian iWD.

V23 membawakan ukuran sepanjang 4,220 mm, lebar 1,915 mm, tinggi 1,845 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,735 mm.

Dengan unjuran pendek di kedua-dua hujung, V23 boleh menawarkan sudut pelepasan 41 darjah serta sudut pendekatan 42 darjah.

Tidak ketinggalan dengan jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm, dan keupayaan untuk meredah air sedalam 600 mm.

Antara ciri di bahagian luar termasuklah unit lampu LED, lampu nyalaan siang DRL LED, lampu belakang LED, tempat pemijak sisi, serta rim saiz 21 inci atau saiz 19 inci untuk varian 2WD.

Ruang kabin V23 menempatkan skrin infohibur sebesar 15.4 inci yang dipacu oleh unit pemproses Qualcomm Snapdragon 8155, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio dengan 7 pembesar suara, serta butang kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa dan mod pemanduan (Eco, Comfort, Sport, Individual, Slippery, Off-road).

Ruang kargo adalah sebesar 234 liter, dan boleh mencecah sehingga 744 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Ciri keselamatan termasuklah brek kecemasan autonomi (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW), amaran penukaran lorong (LCW), amaran keluar lorong (LDW), amaran pelanggaran belakang (RCW), pengelakan keluar lorong (LDP), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), kawalan jelajah adaptif (ACC), sistem pengesanan titik buta (BSD) dan amaran bukaan pintu (DOW).

Selain itu, terdapat juga sistem kamera keliling (AVM) 540 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dan juga unit pembaca NFC yang diletakkan di dapra sisi pemandu.

Terdapat lima warna yang ditawarkan iaitu Off Road Orange, Khaki White, Army Green, Slate Silver dan Carbon Black.

Setiap pembelian didatangkan dengan pakej berikut:

  • Jaminan kenderaan 7-tahun atau had 150,000 km
  • Jaminan bateri dan unit pacuan 8-tahun atau had 160,000 km
  • Jaminan penggantian bateri sekiranya SoC turun bawah 70 peratus

Untuk 1,000 pembeli pertama, iCaur Malaysia menawarkan pengecas dinding 7 kW percuma bernilai RM3,400 serta unit kluster instrumen tambahan bersaiz 6.86 inci bernilai RM1,000.

Selain itu, pembeli akan menerima jaminan lanjutan bateri, motor elektrik dan unit kawalan kuasa sehingga 10 tahun atau had 200,000 km.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved