Ini sebab BYD bakal berhenti menawarkan skrin berpusing dalam kenderaannya

byd_atto_3_533

Apabila BYD mula menerjah pasaran automotif global, antara ciri paling unik yang terdapat pada kereta mereka ialah skrin infotainmen yang boleh berpusing 90 darjah.

Dengan sekali tekan, skrin boleh bertukar daripada mod potret ke landscape, membuatkan pelanggan begitu teruja. Ia seolah-olah menjadi identiti BYD, kerana kebanyakan model mereka menggunakan skrin unik ini.

Walau bagaimanapun, era skrin berpusing itu bakal berakhir.

Bercakap kepada Autocar, Naib Presiden BYD, Stella Li berkata syarikat itu membuat keputusan untuk berhenti menawarkan skrin berpusing kerana ia sebenarnya menyusahkan integrasi aplikasi moden terutamanya Apple CarPlay dan Android Auto.

Tambah Li, Atto 2 baharu akan menjadi model pertama BYD yang hadir tanpa ciri ikonik berkenaan. Syarikat itu juga akan mula menyingkirkan ciri itu daripada semua model lain secara berperingkat.

Katanya lagi, walaupun ramai pemilik suka idea skrin yang boleh dipusing, hakikatnya aplikasi popular hari ini dibina untuk orientasi landscape.

Tambahan pula, data penggunaan menunjukkan sangat sedikit pengguna yang benar-benar menukar antara mod potret dan landscape dalam penggunaan harian.

Terdahulu, BYD mendakwa paparan potret lebih bagus untuk navigasi, manakala landscape lebih mudah untuk sentuhan. Tetapi dalam dunia sebenar, kebanyakan pemandu lebih gemar menggunakan mod landscape. Malah, Apple CarPlay dan Android Auto hanya boleh digunakan dalam mod ini.

Dalam masa yang sama, BYD kini semakin rapat bekerjasama dengan Apple dan Google. Skrin statik memudahkan pembangunan fungsi baharu, meningkatkan prestasi aplikasi serta menyelaraskan antaramuka, lebih-lebih lagi apabila BYD memberi fokus kepada teknologi bantuan pemanduan dan ciri pintar akan datang.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved