Nissan Navara generasi keempat diperkenalkan sebagai Triton yang di-rebadge

ASR – 2026 Nissan Navara PRO-4X

Perkongsian platform bukan perkara baharu dalam dunia trak pikap. Lihat sahaja Volkswagen Amarok yang diasaskan daripada Ford Ranger, atau Mazda BT-50 yang berkongsi DNA dengan Isuzu D-Max.

Nissan Navara generasi keempat ini pula dibina di atas platform sama yang digunakan oleh Mitsubishi Triton generasi ketiga yang diperkenalkan dua tahun lalu.

Perkara ini bukan pelik kerana Nissan dan Mitsubishi sememangnya berada dalam pakatan bersama Renault. Ini membolehkan ketiga-tiga itu berkongsi teknologi bagi mengurangkan kos, serta masa pembangunan.

Bakal memasuki pasaran Australia dan New Zealand menjelang akhir suku pertama 2026, Navara baharu tampil dengan identiti tersendiri menerusi gril V-motion yang diinspirasikan daripada model D21.

Selain itu, ia juga mempunyai lampu utama LED berbentuk C, manakala varian Pro-4X yang ditampilkan ini tampil lebih agresif dengan trim hitam, dan rim 17 inci yang dipadankan dengan tayar all-terrain bersaiz 265/65.

Bahagian dalamannya pula jelas berkongsi banyak elemen dengan Triton, termasuk skrin sentuh 9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, panel instrumen digital 7 inci dan pengecas tanpa wayar.

Untuk keselamatan pula, Navara didatangkan dengan lapan beg udara dan rangkaian ciri ADAS seperti Emergency Lane Assist, Blind Spot Warning dan Front/Rear Cross Traffic Alert.

Kuasa dibekalkan oleh enjin 2.4-liter turbodiesel dengan 204 PS dan 470 Nm, dipadankan transmisi automatik 6-kelajuan. Gabungan ini dikatakan mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api sekitar 7.7 liter/100 km.

Suspensi model ini ditala oleh Premcar, syarikat kejuruteraan Australia yang turut membangunkan Navara Pro-4X Warrior sebelum ini. Program ujian melibatkan jarak lebih 18,000 km merangkumi jalan bandar, trek berbatu, dan permukaan beralun Outback. Hasilnya, semua varian Navara menawarkan kapasiti menunda sehingga 3,500 kg.

Selain itu, Navara baharu juga didatangkan dengan dua sistem 4WD, termasuk pilihan “Super 4WD” untuk varian lebih tinggi yang menawarkan mod pacuan sepenuh masa, Torsen LSD dan tujuh mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Grave, Snow, Mud, Sand dan Rock.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved