Morbidelli T252X 2026 turut diumumkan untuk pasaran Malaysia – harga RM16,888
Sebuah lagi jentera kembara 250 cc dilancarkan oleh Morbidelli Malaysia, iaitu Morbidelli T252X 2026.
Tidak seperti T250X, T252X ini hadir dengan tetapan enjin parallel-twin 249.5 cc yang mampu menghasilkan 31.5 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas 21 Nm @ 9,500 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan dibantu dengan klac slipper.
Casis jenis kerangka perimeter itu disokong oleh suspensi fork hadapan jenis terbalik (USD) 41 mm (jarak pergerakan 160 mm), serta penyerap hentak tunggal Pro-Link di belakang.
Sistem brek pula terdiri daripada angkup empat omboh dan rotor 300 mm di depan, dibantu dengan angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.
Morbidelli T252X ini membawakan ciri seperti unit lampu LED, skrin paparan TFT saiz tujuh inci menegak, tiga mod tunggangan (Normal, Sport, Off-Road), serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 18 liter sementara tinggi pelana pula sekitar 820 mm.
Morbidelli T252X dijual pada harga bermula dari RM16,888 dan dijangka akan mula diedarkan seawal bulan hadapan.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.









