Geely Starray EM-i PHEV dilancarkan di Indonesia, pasang di Purwakarta, bila giliran Malaysia?
Geely Auto Indonesia telah melancarkan Geely Starray EM-i secara rasmi ke pasaran Indonesia.
Model ini merupakan kenderaan Geely kedua yang diperkenalkan di Indonesia selepas SUV elektrik EX5 atau dikenali sebagai Proton e.MAS 7 di pasaran tempatan
Apa yang menarik Starray EM-i telah mula dipasang di Purwakarta sejak September 2025.
Pasaran Dunia
Geely Starray EM-i merupakan PHEV pertama yang dibina di atas platform Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).
Model ini direka untuk memberikan prestasi yang dinamik serta pengalaman pemanduan yang moden.
Starray EM-i telah dilancarkan di Australia sebulan sebelum pelancaran rasmi di Indonesia. Pelancaran ini menandakan satu langkah penting dalam strategi pengembangan global Geely.
SUV ini dijangka akan tersedia di hampir 20 pasaran di seluruh Asia-Pasifik, Eropah, Amerika Latin dan Afrika.
Untuk pasaran tempatan, tiada lagi pengesahan dari Proton namun unit ujian dengan samaran yang dikatakan Starray EM-i telah pun ditemui di atas jalan raya.
Spesifikasi Teknikal Sistem Hibrid
- Enjin petrol 1.5 liter.
- Motor elektrik berkuasa 160 kilowatt (kW).
- Bateri berkapasiti 18.4 kilowatt jam (kWj).
- Sistem transmisi Automatik 1DHT.
- Kecekapan haba enjin petrol mencapai 46.5 peratus.
Sistem Hibrid Super EM-i membolehkan peralihan kuasa yang lancar merentasi tiga mod pemanduan, iaitu Pure, Hybrid, dan Power, menawarkan keseimbangan optimum antara prestasi, kecekapan dan keselesaan.
Prestasi dan Kecekapan
- Kecekapan bahan api bersamaan dengan 83 km/liter.
- Jarak pemanduan elektrik sepenuhnya (EV) sehingga 105 km.
- Jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,000 km dengan satu kitaran pengisian semula bahan api dan pengecasan penuh.
Reka Bentuk Moden dan Pengiktirafan Antarabangsa
Starray EM-i menampilkan reka bentuk luaran yang kontemporari dan dinamik. Walaupun berkongsi dengan EX5, SUV ini membawa wajah depan dan belakang yang tersendiri.
Reka bentuk Starray EM-itelah mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti Red Dot Award, International Design Awards (IDA), Muse Design Awards, dan A’ Design Award.
Kabin Premium dan Ciri Keselesaan
Bahagian dalam juga mengekalkan aura EX5 namun tampil dengan papan pemuka yang berbeza dan begitu juga panel pintu.
Ciri-ciri Dalaman:
- Tempat duduk direka bentuk seperti marshmallow 8-lapisan untuk sokongan ergonomik maksimum.
- Susun atur storan gaya jambatan bagi mengekalkan kelapangan dan kefungsian.
- Tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan dan memori.
- Pencahayaan ambien 256-warna.
- Paparan pusat skrin sentuh bersaiz 15.4-inci.
- Kluster instrumen digital bersaiz 10.2-inci.
- Sistem maklumat hibur Flyme Auto yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.
- Sistem audio Flyme Sound 16-pembesar suara, termasuk dua pembesar suara di tempat letak kepala dan satu subwoofer, memberikan pengalaman akustik yang mendalam.
Keselamatan dan Rangkaian Sokongan
Dari segi keselamatan, Starray EM-i dilengkapi dengan Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) Tahap 2 yang komprehensif.
Fungsi Keselamatan Utama (14 fungsi aktif):
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC).
- Brek Kecemasan Automatik (AEB).
- Sistem kamera 540 darjah.
Harga
Sempena pelancaran, Starray EM-i ditawarkan pada harga IDR499,000,000 atau bersamaan RM124,117 (OTR Jakarta).
Kredit gambar: Geely Auto Indonesia









