Yamaha YZR-M1 guna enjin V4 pada musim 2026

Yamaha Motor Co., Ltd. secara rasmi mengumumkan penukaran enjin jentera YZR-M1 daripada empat sebaris kepada V4, bermula pada musim Kejuaraan Dunia MotoGP 2026.

Enjin empat sebaris telah menjadi nadi penting dalam identiti perlumbaan Yamaha selama berdekad lamanya dan memacu kejayaan pelumba ikonik seperti Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan Fabio Quartararo.

Gabungan unik ketangkasan dan penyampaian kuasa yang lancar daripada konfigurasi ini telah menghasilkan rekod pencapaian yang cemerlang.

Sepanjang penggunaannya, enjin empat sebaris telah bersaing dalam 429 Grand Prix, mencatatkan 125 kemenangan perlumbaan dan naik ke podium sebanyak 352 kali.

Konfigurasi enjin ini juga membantu Yamaha meraih:

  • 8 Kejuaraan Pelumba
  • 7 Kejuaraan Pasukan
  • 5 Kejuaraan Pengeluar
  • 5 Kejuaraan Triple Crowns MotoGP

Evolusi MotoGP

Seiring dengan perubahan teknologi MotoGP, Yamaha menyahut cabaran teknikal baharu ini sambil mengekalkan identiti jenama mereka.

Peralihan kepada enjin V4 menandakan pencapaian penting dalam usaha Yamaha meningkatkan prestasi dan inovasi.

Konfigurasi enjin V4 baharu dijangka menawarkan beberapa peningkatan teknikal utama, termasuk:

  • Pecutan yang lebih baik
  • Pengendalian yang lebih baik semasa membrek
  • Penyesuaian yang lebih tinggi terhadap keperluan tayar dan aerodinamik terkini

Pembangunan pesat enjin V4 sepanjang 2025 menyerlahkan kesungguhan Yamaha untuk berada di barisan hadapan teknologi MotoGP, sambil tetap menghormati warisan perlumbaan mereka.

Permulaan Era Baharu

Grand Prix Valencia menjadi perlumbaan terakhir bagi empat sebaris ikonik Yamaha di MotoGP.

Sebagai permulaan kepada era baharu ini, semua pelumba MotoGP Yamaha musim 2026 dijadualkan akan menguji jentera yang dikuasakan enjin V4 buat pertama kali semasa Ujian Valencia pada hari Selasa.

Episod baharu ini permulaan yang menarik untuk Yamaha dan peminat di seluruh dunia. Untuk rekod, Yamaha telah memperkenalkan YZR-M1 dengan enjin V4 di Misano pada September lalu.

Yamaha V4

Yamaha YZR-M1 V4 Misano