Polyphony Digital telah mengumumkan kemas kini berbayar baharu untuk Gran Turismo 7 yang dikenali sebagai Power Pack DLC. Ia akan dilancarkan pada 4 Disember 2025, eksklusif untuk pemain di PlayStation 5.
Digelar sebagai bab baharu dalam francais perlumbaan ikonik ini, Power Pack memperkayakan lagi pengalaman perlumbaan sebenar dengan menambah 50 perlumbaan baharu merentasi enam tema global yang diinspirasikan daripada budaya automotif seluruh dunia.
DLC ini turut memperkenalkan Gran Turismo Sophy 3.0, versi terkini kecerdasan buatan (AI) perlumbaan yang menawarkan pertempuran lebih sengit dan realistik di litar. Menariknya, Sophy 3.0 hanya boleh dimainkan dalam Power Pack.
Harga rasmi DLC ini masih belum diumumkan, namun dengan semua kandungan baharu ini, ia dijangka menjadi salah satu kemas kini terbesar dalam sejarah Gran Turismo 7.
