Geely hebat, 210 ribu Geely EX5 terjual, hanya 15 bulan selepas pelancaran
Geely Auto baru-baru ini mengumumkan SUV elektrik Geely EX5, telah mencapai kejayaan penting dengan jumlah jualan global sebanyak 210,000 unit sehingga Oktober 2025.
Pencapaian luar biasa ini direkodkan hanya dalam tempoh 15 bulan selepas pelancaran pada Ogos 2024.
Bukan sahaja EX5, kembar di pasaran tempatan iaitu Proton e.MAS 7 juga mencatatkan perkembangan memberangangkan dengan jualan sebanyak 7,413 unit sejak dilancarkan pada Disember 2024.
Direka Untuk Keluarga Muda Global
Geely EX5 direka khusus sebagai SUV elektrik yang menyasarkan keluarga muda di seluruh dunia.
Ia dibangunkan untuk mengatasi isu biasa EV kompak, seperti reka bentuk, ruang dalaman, fungsi pintar, prestasi dan kecekapan tenaga.
EX5 dilengkapi sistem pacuan elektrik pintar 11-dalam-1 dan teknologi pengurusan haba canggih.
Ciri-ciri tersebut membolehkan EX5 mencapai penggunaan tenaga yang terkemuka dalam kelasnya, iaitu serendah 12.1 kWj bagi setiap 100 km.
Ini bermakna pemanduan EX5 bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga menjimatkan.
Selain itu, kemas kini Perisian Atas Talian (OTA) yang berterusan memastikan tahap personalisasi dan kemudahan yang dipertingkatkan, membolehkan EX5 sentiasa berevolusi seiring dengan keperluan pemilik.
Merantau ke 33 Negara
Geely EX5 dibangunkan melalui jaringan R&D global Geely dan sistem teknologi canggih.
Selepas diperkenalkan di Pameran Kenderaan Elektrik EVA Frankfurt, model ini pantas mendapat perhatian dan momentum global.
Penampilan sulung EX5 di UK pada Oktober 2025 merupakan langkah terbaharu yang memperkukuh momentum globalnya.
Sehingga kini, EX5 sudah berada di 33 negara merangkumi rantau Eropah, Asia, Oceania, Timur Tengah dan Amerika.
Dominasi Pasaran Utama
- Di Greece, EX5 mencatatkan prestasi jualan yang kukuh pada September 2025, mendahului jualan dalam segmennya.
- Pasaran Australia pula menunjukkan penerimaan yang sangat memberangsangkan dengan pertumbuhan pesat sejak pelancarannya pada Mac 2025.
- Sementara itu, di Brazil, Geely EX5 mendominasi segmennya, merekodkan kedudukan jualan nombor satu selama dua bulan berturut-turut sejurus selepas pelancaran rasmi.
Barisan NEV Geely Melebihi Sasaran Jualan Sejuta Unit
Didorong oleh prestasi kukuh Geely EX5 dan model popular lain, barisan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) jenama Geely telah melepasi sasaran jualan tahunan lebih awal iaitu satu juta unit pada Oktober 2025. Angka tepat ialah 1,002,461 unit.
Perancangan Masa Depan dan Strategi Global
Geely Auto merancang untuk terus menembusi pasaran utama Eropah, termasuk Jerman, Perancis, Itali, dan Sepanyol.
Pada masa yang sama, syarikat akan memperkukuh kehadiran di pasaran baru muncul seperti Uzbekistan, Afrika Selatan dan Colombia.
Melalui inovasi dan strategi global bernilai tinggi, Geely Auto menyasarkan untuk menawarkan mobiliti yang lebih pintar, hijau,dan menyeronokkan kepada pemandu di seluruh dunia.












