Tempahan Jetour T2 2026 dibuka, pelancaran Q1 2026, harga anggaran RM178,888

Jetour T2 2026 (1)

Pihak Jetour Malaysia telah mengumumkan pembukaan tempahan bagi model SUV premium lasak Jetour T2, dengan harga anggaran dari RM178,888.

Dengan kemunculan versi pemanduan sebelah kanan (RHD) baru-baru ini, ia sekaligus menjadikan Malaysia sebagai antara pasaran terawal di dunia yang menyambut kemunculan model ini.

Untuk info, Jetour T2 versi RHD ini telah pun dipamerkan semasa acara pameran Shanghai Auto Show pada bulan April yang lepas.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang Jetour T2 yang bakal dilancarkan pada suku pertama 2026 (Q1 2026):

 

1. Enjin

Jetour T2 dikuasakan oleh enjin petrol 2.0L TGDi dengan hamburan kuasa 245 PS dan daya kilas 375 Nm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan, sistem pacuan empat roda serta mod pemanduan pintar X-Intelligent yang boleh disesuaikan mengikut permukaan dan keadaan jalan.

 

2. Dimensi

Jetour T2 merupakan SUV saiz pertengahan dengan ukuran dimensi sepanjang 4,785 mm, lebar 2,006 mm, tinggi, 1880 mm dengan jarak antara roda 2,800 mm.

 

3. Kelengkapan

Jetour T2 mendapat kelengkapan seperti unit pencahayaan LED berserta logo Jetour bercahaya, rel bumbung serta kotak storan luaran pada pintu kargo belakang.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 15.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta tidak ketinggalan sistem audio Sony dengan 12 pembesar suara.

 

4. Keselamatan

Jetour Malaysia mengesahkan SUV T2 ini akan dilengkapi dengan enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kamera keliling 360 darjah, serta sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2.

Rakyat Malaysia yang berminat boleh membuat tempahan di semua pengedar sah Jetour dengan yuran tempahan RM1,000.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved