Toyota terus memperkukuh visi “Mobiliti untuk Semua” bagi memastikan tiada siapa yang ketinggalan di belakang menerusi pendekatan pelbagai cara (Multi-Pathway Approach) yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.
Dalam tempoh tiga tahun akan datang, Toyota merancang untuk memperkenalkan lebih 10 model berelektrik (xEV) untuk pasaran Asia.
Toyota turut mengumumkan misi “30 by 30” dengan menyasarkan jualan sebanyak 30 peratus xEV di pasaran ASEAN menjelang 2030, atau melebihi 1.5 juta unit.
Ia adalah bersamaan dengan impak terhadap alam sekitar dengan menanam 25 juta pokok atau mengurangkan emisi CO2 sebanyak 8 juta tan.
Toyota juga turut mengumumkan perancangan memulakan produksi kenderaan elektrik bateri (BEV) di Thailand dan Indonesia menjelang akhir tahun ini.
Salah satu model BEV yang dirancang itu akan dibina berdasarkan platform IMV (Innovative International Multi-Purpose Vehicle) yang menjadi asas kepada model-model popular seperti Hilux, Fortuner, Innova dan Land Cruiser FJ.
Sebut pasal Land Cruiser FJ, model Land Cruiser yang paling kompak ini akan dipasang di Thailand sebelum dieksport ke pasaran Asia.
Menerusi model Land Cruiser FJ, Toyota akan menawarkan nilai baharu dalam bentuk kebebasan dan kegembiraan (Freedom & Joy) yang boleh dinikmati pelanggan dengan cara yang tersendiri, dan dalam masa yang sama mengekalkan kebolehpercayaan, ketahanan dan prestasi off-road yang dapat memenuhi gaya hidup mereka.
