Subaru Forester generasi keenam rasmi di Malaysia – harga RM221,500
TC Subaru Sdn Bhd melancarkan model Forester generasi keenam untuk pasaran Malaysia.
Subaru Forester baharu ini ditawarkan dalam varian tunggal Forester 2.5i-S EyeSight dengan harga jualan bermula dari RM221,500 – lebih mahal jika dibandingkan dengan Forester terdahulu.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Enjin
Subaru Forester serba baharu ini menampilkan enjin boxer 2.5 liter (FB25) yang mampu menjana 182 hp @ 5,800 rpm dan daya kilas 247 Nm @ 3,700 rpm.
Kuasa itu tadi disalurkan kepada sistem pacuan semua roda Symmetrical AWD menerusi transmisi Lineartronic CVT.
Terdapat juga mod Subaru Intelligent Drive (SI-Drive) membolehkan pemandu memilih mod Intelligent atau mod Sport, menawarkan manfaat pecutan yang lebih bertenaga dan lebih jimat bahan api.
2. Casis
Forester baharu ini dibina berdasarkan pelantar Subaru Global Platform dengan casis 10 peratus lebih tegar, dibantu dengan tetapan suspensi topang MacPherson dan double wishbone.
Dimensi pula adalah sepanjang 4,655 mm, lebar 1,828 mm, tinggi 1,730 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,670 mm.
Untuk pemanduan off-road, Subaru Forester menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 220 mm, diikuti X-Mode dwi-fungsi, serta kawalan menurun cerun (HDC).
3. Luaran
Dari segi penggayaan, Subaru Forester baharu ini membawakan bentuk yang hampir sama dengan model terdahulu, namun dengan rekaan yang lebih agresif dan berani.
Terdapat unit lampu LED berbentuk C, struktur jeriji yang direka semula, rim aloi aluminium saiz 18 inci, gerbang roda bersegi, rel bumbung praktikal dan perkataan FORESTER tenggelam pada pintu belakang.
Subaru Forester boleh didapati dalam beberapa pilihan warna termasuklah warna baharu River Rock Pearl, Cashmere Gold Opal dan Daybreak Blue.
4. Kabin
Kabin Forester menempatkan skrin tengah sebesar 11.6 inci yang turut menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, gandingan tolok analog dan skrin MID, serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C.
Tempat duduk yang ergonomik itu dibangunkan menerusi kerjasama dengan pusat perubatan di Jepun bagi mengurangkan gegaran dan tekanan kepada badan pemandu.
Selain larasan 10-tahap, tempat duduk pemandu juga mempunyai sokongan kepada tulang belakang.
Akhir sekali, ruang kargo belakang boleh menampung barang sehingga 2,107 liter dengan bukaan pintu bebas tangan dan tempat duduk baris kedua boleh lipat nisbah 60:40.
5. Keselamatan
Secara standard, Subaru Forester hadir dengan lapan beg udara SRS serta sistem EyeSight 4.0 yang kini menggunakan kamera monokular sudut lebar yang amat berguna bagi mengesan kehadiran pejalan kaki dan penunggang basikal.
Ciri keselamatan lain termasuklah sistem berhenti kecemasan, sistem pemantauan pemandu, kamera keliling 360 darjah, brek mengundur automatik (RAB) dan Active Torque Vectoring.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

































