JMS 2025: Lexus LS Concept tampil dalam tiga bentuk berbeza

Lexus LS Concept 2025 1

Lexus LS muncul di dunia pada tahun 1989 sebagai sebuah sedan mewah eksekutif bertaraf mercu.

Kini selepas 36 tahun, LS tidak lagi dikenali sebagai Luxury Sedan, sebaliknya Lexus mahu menamakannya sebagai “Luxury Space”.

Bertempat di Japan Mobility Show 2025, Lexus mempamerkan tiga model konsep Luxury Space dalam bentuk minivan enam tayar, SUV coupe, dan pod mobiliti peribadi tiga tayar.

 

Lexus LS Concept

Ini merupakan konsep LS yang pertama diumumkan ke dunia beberapa minggu sebelum tirai JMS 2025 dibuka.

Tidak seperti Lexus LM, Lexus LS Concept ini membawakan tetapan enam roda – mengingatkan kita pada jentera lumba F1 era 70-an.

Berdasarkan gambar rasmi, minivan ini mempunyai konfigurasi tiga baris tempat duduk.

Terima kasih kepada roda belakang yang lebih kecil, ia mampu memaksimumkan lagi ruang kabin untuk keselesaan penumpang baris ketiga.

Kehadiran perkakasan pemanduan seperti roda stereng dan skrin paparan memberikan petunjuk minivan ini masih lagi boleh dipandu seperti biasa.

 

Lexus LS Coupe Concept

Ini merupakan model konsep yang paling nampak macam sebuah kereta tradisional.

Bentuk badan SUV coupe memberikan petanda jelas bahawa LS ini sedia memberikan cabaran kepada model seperti Ferrari Purosangue.

Bukaan pintu pula ala kereta Rolls-Royce, manakala bahagian belakang pula boleh diluncurkan keluar seperti laci.

Ruang kabin LS Coupe menampilkan susun atur papan pemuka yang hampir sama dengan minivan LS tadi.

 

Lexus LS Micro Concept

Seakan konsep yang datang dari masa hadapan, LS Micro Concept merupakan sebuah pod mobiliti peribadi dengan tetapan tiga roda.

Ia hanya boleh memuatkan seorang sahaja penumpang pada satu-satu masa, dan memiliki keupayaan swa-pandu.

Perkara yang paling penting? Terdapat beberapa ruang meletakkan cawan yang tersedia.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved