Proton e.MAS 5 2025 – dua varian, harga dari RM56,800

Proton e.MAS 5 2025 1

Proton akhirnya mendedahkan harga jualan rasmi bagi EV mampu milik Proton e.MAS 5 2025.

Ditawarkan dalam dua varian, harga jualan Proton e.MAS 5 bermula dari RM59,800 untuk varian Prime, dan dari RM72,800 untuk varian Premium.

Proton turut menawarkan rebat khas, di mana varian Prime kini serendah RM56,800 sementara varian Premium pula dari RM69,800, sah sehingga 31 Disember 2025.

Berikut merupakan lima perkara yang perlu anda tahu:
1. Dimensi

Sebagai sebuah SUV segmen B, e.MAS 5 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,580 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,650 mm.

Jarak kelegaan tanah pula adalah setinggi 160 mm.

Ruang kargo adalah sebesar 375 liter dan boleh mencapai sehingga 1,320 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Terdapat ruang kargo hadapan sebesar 70 liter disediakan.


2. Varian

Ada dua varian utama yang bakal ditawarkan kepada pengguna kelak.

e.MAS 5 varian Premium dilengkapi dengan pek bateri LFP CATL berkapasiti 40.16 kWh, menawarkan jarak pandu sejauh 325 km untuk sekali cas penuh (data WLTP).

Bateri tersebut menyokong pengecasan AC 6.6 kW, serta pengecasan pantas DC 71 kW di mana pengecasan 30-80 peratus boleh dicapai dalam masa 21 minit sahaja.

Difahamkan, terdapat varian Prime yang dilengkapi dengan bateri berkapasiti 30.12 kWh dan jarak pandu sejauh 250 km (data WLTP), atau 310 km mengikut data CLTC.
3. Prestasi

Proton e.MAS 5 dibekalkan dengan unit pacuan 11-dalam-1 yang memacu roda belakang (RWD).

Ia menghasilkan kuasa setinggi 114 hp dan daya kilas 150 Nm.

Pecutan 0-50 km/j adalah sepantas 3.9 saat.

Aspek pemanduan dibantu dengan tetapan suspensi topang MacPherson di depan, diikuti tetapan multi-link di belakang, serta sistem stereng elektrik.
4. Kelengkapan

Di bahagian luar, Proton e.MAS 5 dilengkapi dengan unit lampu LED, rim bersaiz 16 inci aerodinamik, skema warna dua tona dengan bumbung hitam, serta pemegang pintu tertanam kemas.

Antara kelengkapan ruang kabin e.MAS 5 termasuklah roda stereng dua jejari (kemasan dua tona), tuil penukaran gear di tengah, skrin digital 8.8 inci, serta tempat duduk balutan kulit palsu.

Skrin utama adalah sebesar 14.6 inci dengan sistem operasi ATLAS Auto, sokongan Apple CarPlay/Android Auto, sistem pemetaan dengan lokasi jaringan pengecasan terbina serta sokongan arahan suara dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

5. Keselamatan

Proton e.MAS 5 hadir dengan enam beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), kamera 360 darjah, penderia parkir belakang serta fungsi ADAS seperti berikut:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Pengecaman Papan Tanda Trafik (TSR)
  • Peringatan Pergerakan Kenderaan Hadapan (FVD)
  • Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved