JMS 2025: Toyota pamer beberapa konsep mobiliti unik untuk semua orang

Toyota JMS 2025

Bertempat di Japan Mobility Show 2025, Toyota mengambil kesempatan untuk mempamerkan beberapa model konsep mobiliti yang cukup unik bertemakan “Mobility for All”.

Kebanyakan model konsep ini direka berdasarkan pendekatan “If you can’t go, mobility will come to you” bertujuan untuk membantu terutama golongan yang kurang upaya untuk bergerak dengan lebih mudah.

Antara model unik yang dipamerkan adalah seperti berikut:

 

Kayoibako

Kayoibako merupakan sebuah van berbentuk petak dengan bukaan bahagian sisi yang agak besar untuk memudahkan pengguna berkerusi roda.

Ia tidak mempunyai perkakas pemanduan seperti pedal pendikit dan brek, sebaliknya segala kawalan pemanduan boleh diakses menerusi ‘roda’ stereng seakan kayu ria konsol permainan.

 

Chibibo

Ia merupakan sebuah robot berkaki empat yang boleh digunakan untuk membawa barang.

Dengan ciri kaki empat seakan haiwan, ia boleh mendaki tangga dengan mudah, dan boleh disesuaikan dengan Kayoibako tadi.

 

KB Lifter

Sebuah kren kargo berskala kecil dengan pelantar yang boleh ditinggikan untuk mengangkut atau memunggah barangan dengan hanya menekan butang pada bahagian pemegang.

 

Coms-X

Ini pula merupakan sebuah kenderaan pengangkut barangan kargo empat roda yang mempunyai rekaan kabin terbuka, bertujuan untuk memudahkan urusan keluar masuk dan membawa barangan pada jarak dekat.

Sama seperti Kayoibako, ia tidak mempunyai perkakasan pemanduan tradisional, sebaliknya semua kawalan pemanduan adalah menerusi roda stereng.

 

Kids Mobi

Sebuah kenderaan yang sesuai untuk kanak-kanak dengan rekaan dan unit lampu dengan grafik yang mirip kepada pergerakan mata watak kartun.

Disebabkan saiznya yang kecil, Kids Mobi hanya mampu memuatkan seorang kanak-kanak sahaja pada satu-satu masa.

 

boost me

Ia merupakan sebuah peranti pembawa manusia dengan rekaan seakan model popular Segway yang selalu digunakan oleh polis bantuan di pusat membeli belah.

 

walk me

Mempunyai konsep yang sama seperti Chibibo, walk me mempunyai tempat duduk khas yang boleh digunakan oleh manusia.

Dengan rekaan berkaki empat, walk me boleh digunakan atas pelbagai permukaan termasuklah mendaki tangga.

 

challenge me

Antara cabaran utama pengguna berkerusi roda ialah rekaan yang tidak sesuai untuk pelbagai jenis permukaan jalan.

Kerusi roda challenge me ini mempunyai ciri seperti lampu depan dan belakang, roda yang lasak, serta suspensi yang dapat menyerap segala kekasaran terutama ketika melakukan aktiviti off-road.

 

Land Hopper

Land Hopper merupakan sebuah kenderaan mobiliti peribadi berkuasa elektrik dengan tetapan tiga roda, dengan rekaan yang boleh dilipat dan disimpan di dalam ruang kargo.

Basikal tiga roda ini muncul ketika Toyota memperkenalkan model SUV off-road terbaharu Land Cruiser FJ tempoh hari.

 

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved