JMS 2025: Century kini jenama ultra-mewah berdiri sendiri, pencabar Rolls-Royce

Century Japan Mobility Show 2025 5

Tidak lagi mahu dikenali sebagai Rolls-Royce Jepun, Toyota membuat keputusan untuk mengasingkan terus plet nama ikonik Century menjadi sebuah jenama tersendiri.

Jenama Century ini akan diposisikan di puncak hierarki Toyota, dan dalam masa yang sama jauh lebih tinggi berbanding jenama Lexus.

Di JMS 2025, jenama Century turut menampilkan gaya badan baharu berupa sebuah coupe (atau Grand Tourer, GT) dinamakan One of One sebagai pelengkap kepada penawaran sedan dan SUV sedia ada.

Kemunculan model coupe ini merupakan jawapan Century kepada model Rolls-Royce Spectre.

Tidak seperti Spectre yang merupakan sebuah GT berkuasa elektrik, Century coupe ini menampilkan liang udara pada bahagian hud hadapan – memberikan petanda ia bakal dikuasakan oleh enjin pembakaran dalaman.

Ciri unik yang ada pada model coupe ini ialah bukaan pintu gelangsar berkembar sebelah kiri yang agak luas tanpa kehadiran tiang B.

Dalam kabin, terdapat tirai yang memisahkan ruang antara pemandu dan penumpang kenamaan.

Penumpang pula boleh memilih untuk duduk di sebelah pemandu, atau jauh di belakang dengan hanya melaraskan kedudukan.

Tempat duduk penumpang juga boleh dipusingkan kedudukannya untuk memudahkan urusan keluar masuk.

Dalam ucapannya di Japan Mobility Show 2025, Akio Toyoda menjelaskan, “Jenama Century bukan sekadar sebuah jenama di dalam Toyota Motor Corporation.”

“Kami mahu mempupuk (Century) sebagai sebuah jenama yang dapat membawakan semangat Jepun – kebanggaan Jepun – ke seluruh dunia.”

Ini bermakna, Century bukan lagi sebuah jenama yang dikhususkan untuk pasaran Jepun, ia kini merupakan sebuah jenama global untuk bersaing dengan jenama ultra-mewah lain seperti Bentley dan juga Rolls-Royce.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved