Tahun 2025 terbukti menjadi tahun yang mencabar buat pengeluar kereta sport Jerman, Porsche.
Laporan kewangan terbaharu menunjukkan keuntungan operasi syarikat itu jatuh 99% dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, iaitu dari 4.03 bilion euro pada 2024 kepada hanya 40 juta euro.
Selain itu, hasil jualan dan penghantaran global juga menurun sekitar 6%, dari 28.56 billion euro kepada 26.86 bilion euro, dan dari 226,026 unit kepada 212,059 unit.
Kemerosotan ini berpunca daripada langkah Porsche untuk menyusun semula strategi produknya. Pelan baharu itu, yang menyeimbangkan semula barisan model enjin pembakaran dalaman (ICE), hibrid dan elektrik, datang dengan kos yang tinggi dalam jangka pendek.
Perbelanjaan penstrukturan semula sekitar €2.7 bilion, ditambah pula dengan tarif import baharu AS sebanyak 15%, telah memberikan kesan besar terhadap keuntungan syarikat itu.
Di sebalik angka yang suram, masih ada tanda-tanda positif. Aliran tunai bersih meningkat daripada 1.24 bilion kepada kepada 1.34 bilion euro, manakala penyerahan di pasaran AS dan “negara-negara pesat membangun” mencapai rekod baharu.
Menurut Porsche, model elektrifikasi kini merangkumi lebih satu pertiga daripada jualan globalnya. Malah di Eropah, lebih separuh daripada semua Porsche yang dijual adalah model elektrik atau hibrid.
Porsche menjangkakan 2025 sebagai tahun paling mencabar sebelum pulih semula pada 2026. Dengan Micheal Leiters, bekas ekskeutif McLaren dan Ferrari, bakal mengambil alih jawatan CEO pada Januari nanti, syarikat itu merancang untuk memperkenalkan lebih banyak model hibrid dan ICE, di samping mengemas kini barisan model elektriknya bagi mencapai keseimbangan yang lebih baik
